JAKARTA: Menteri Koordinator Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan Indonesia, Luhut Binsar Pandjaitan memaklumkan, kerajaan negara itu berjaya menemui potensi baharu minyak baharu berjumlah 27 bilion tong di Warim, Papua.
Beliau berkata, potensi tenaga baharu itu sudah diterokai secara bebas oleh syarikat minyak milik kerajaan, PT Pertamina.
“Warim mempunyai potensi minyak mencecah sehingga 27 bilion tong. Saya rasa ini luar biasa. Kalau ada minyak, biasanya kita boleh cari potensi gas juga,” katanya ketika menghadiri Ekspo Perancangan Ruang dan Perkhidmatan Marin Edisi 2023 di Jakarta kelmarin.
Bagaimanapun, memandangkan Warim merupakan kawasan hutan lindung, syarikat itu memerlukan layanan khas untuk meneroka potensi minyak dan gas di kawasan itu.
Justeru, Luhut berkata, beliau sudah membincangkan rancangan penerokaan di kawasan Warim dengan Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan.
“Sehingga hari ini, Pertamina menjalankan penerokaan bebas kerana Warim adalah kawasan hutan simpan. Mungkin penggerudian akan berbeza pada sudut tertentu,” jelasnya dipetik Antara News.
Tambah beliau, Indonesia mempunyai potensi minyak dan gas yang besar bukan sahaja di darat tetapi juga di laut dan kerajaan juga turut menemui potensi gas sehingga 24 trilion kaki padu di wilayah Andaman, Aceh.
“Selain di darat, kita juga mempunyai potensi tenaga di laut seperti di Andaman, Aceh. Di Masela di Maluku juga jumlahnya sama.
“Dengan potensi yang melimpah ruah ini, saya menyeru semua lapisan masyarakat supaya percaya akan kehebatan negara. Walaupun terdapat beberapa kelemahan, saya percaya ia juga datang dengan peningkatan.
“Masalah tidak akan selesai dalam satu penggal. Ia memerlukan tiga hingga empat penggal kerajaan untuk kita menjadi negara berpendapatan tinggi atau negara maju. Itu proses yang mesti kita lakukan bersama dan jika kita semua bersatu, insya-Allah kita boleh sampai ke sana,” katanya.