SUMATERA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut selepas dihempap tembok sebuah masjid ketika sedang mengambil wuduk baru-baru ini.
Tembok itu runtuh selepas seorang remaja yang menunggang motosikal hilang kawalan hingga melanggar tembok masjid di tempat di mana secara kebetulan mangsa berada.
Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular dalam talian, Gian Septiawan Ardani, murid sekolah rendah, dilihat sedang berwuduk bersama seorang budak lelaki lain.
Kedua-dua mereka memakai songkok ketika berada di masjid itu, yang dikenal pasti pada Isnin lalu sebagai masjid awam di Lubuk Minturun, Sumatera Barat.
Wuduk mereka terganggu apabila sebuah motosikal ditunggangi seorang remaja sambil berdiri di atas tempat duduk motosikal itu, melanggar dinding berhampiran dua budak lelaki itu.
Dinding itu runtuh menghempap kepala mangsa manakala rakannya sempat mengelak bongkah konkrit itu.
Gian, yang dilaporkan dikejarkan ke hospital, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius di kepala dan kehilangan banyak darah.
Seorang inspektor polis trafik tempatan di Padang berkata, nahas berlaku kira-kira pukul 3 petang waktu tempatan Isnin lalu, dan siasatan sedang dijalankan.
Sementara itu, Selasa lalu, seorang pentadbir masjid, Desriadi, memberitahu Republika bahawa penunggang motosikal itu mempamerkan gaya ‘bebas’ dengan berdiri di atas tempat duduk motosikal apabila dia hilang kawalan dan terbabas di tempat letak kereta masjid.
Katanya, remaja itu adalah sebahagian daripada sekumpulan pelajar yang dikenali sering menunggang motosikal secara melulu di wilayah berkenaan. -AGENSI