SINGAPURA: Tharman Shanmugaratnam yang dipilih sebagai Presiden baharu Singapura menzahirkan rasa terharu dengan sokongan kuat diberikan oleh rakyat republik itu terhadap beliau dalam pilihan raya kelmarin.
Menurut Tharman, beliau percaya undi diberikan kepadanya dan apa yang diperjuangkannya merupakan undi keyakinan bagi Singapura sendiri.
“Ini adalah undi keyakinan untuk masa depan yang mana kita boleh maju bersama dan saling tolong menolong sebagai rakyat Singapura,” katanya.
Tharman, 66, juga mengucapkan terima kasih kepada dua pencabarnya yang menggembleng usaha dan tenaga dalam kempen mereka sekaligus menjadikannya sebagai pertandingan yang penuh bermakna.
Tharman dipilih sebagai Presiden Singapura ke-9 selepas memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya diadakan kelmarin.
Bekas Timbalan Perdana Menteri Singapura itu menewaskan dua pencabarnya dengan menerima sebanyak 70.4 peratus undi.
Bekas Ketua Eksekutif NTUC Income, Tan Kin Lian berada di tempat kedua dengan memperoleh 15.72 peratus undi, manakala bekas Ketua Pegawai Pelaburan GIC, Ng Kok Song menerima 13.88 peratus undi.
Tharman yang merupakan negarawan dan ahli ekonomi Singapura, pernah berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri republik itu antara 2011 dan 2019, selain sebagai Menteri Kanan dalam Kabinet antara 2019 dan 2023.
Beliau juga pernah memegang beberapa peranan lain termasuk Pengerusi Pihak Berkuasa Kewangan Singapura antara tahun 2011 dan 2023, dan Timbalan Pengerusi GIC antara 2019 dan 2023.
Beliau membuat penampilan politik pertamanya dalam pilihan raya umum 2001 dan dipilih semula ke Parlimen sebanyak empat kali dalam pilihan raya umum berikutnya pada tahun 2006, 2011, 2015, dan 2020.
Pada Julai 2023, Tharman mengundurkan diri dari Parlimen dan semua jawatan dalam kerajaan serta keluar Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk bertanding dalam pilihan raya presiden.
Ia merupakan pilihan raya presiden yang dipertandingkan buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun.
Kali terakhir pertandingan Pilihan Raya Presiden diadakan pada Ogos 2011 yang menyaksikan empat calon bersaing merebut jawatan berkenaan. – AGENSI