Thailand lulus moratorium hutang kepada petani

Thailand lulus moratorium hutang kepada petani

PENDUDUK menuai padi di kawasan sawah Naratahiwat di selatan Thailand.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Kabinet Thailand meluluskan moratorium hutang selama tiga tahun untuk petani yang akan menelan belanja kerajaan kira-kira 30 bilion baht (RM3.86 bilion).

Timbalan Menteri Kewangan, Julapun Amornvivat berkata, fasa pertama program penangguhan hutang itu akan bermula pada 1 Oktober dan berlangsung sehingga 30 September tahun depan.

BANTU PETANI

Fasa pertama akan menelan belanja kira-kira 12 bilion baht (RM1.4 bilion) sementara butiran fasa kedua dan ketiga masih belum dimuktamadkan kerana memerlukan kelulusan berasingan.

“Skim moratorium ini adalah berbeza daripada skim yang sama pada masa lalu.

“Langkah-langkah juga akan dirangka untuk memperkasakan petani selepas meninggalkan program tersebut,” katanya dipetik Bangkok Post.

Menurut beliau, mereka yang layak untuk penggantungan pembayaran balik hutang adalah petani yang meminjam daripada Bank Koperasi Pertanian dan Pertanian (BAAC) dengan pinjaman pokok tertunggak tidak melebihi 300,000 baht (RM38,624) setakat 30 September tahun ini.

Jelas Julapun, kira-kira 2.7 juta petani layak menyertai skim itu yang menyumbang kira-kira 64 peratus daripada jumlah penghutang BAAC.

Malah, katanya, petani di negara itu juga akan dibenarkan meminjam sehingga 100,000 baht (RM12,874) setiap seorang untuk meneruskan kerjaya lain semasa penggantungan hutang.

Beliau berkata, mereka yang mempunyai pinjaman tidak berbayar (NPL) dibenarkan memasuki program moratorium hanya selepas menjalani penstrukturan semula pembayaran selaras dengan kriteria BAAC.

TINGKAT KEMAHIRAN

Tambahnya, kerajaan juga akan membantu memikul beban pembayaran balik faedah bagi kumpulan penghutang ini selama tiga bulan.

Kabinet turut meluluskan langkah meningkatkan kemahiran petani yang menyertai program itu dan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk mengadakan sesi latihan kerjaya bagi membolehkan mereka menambah pendapatan melalui kerjaya lain, membayar balik hutang dan meningkatkan taraf hidup dalam jangka masa panjang.

Panel kerja juga ditubuhkan untuk mengusahakan langkah penangguhan hutang kepada usahawan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat impak pandemik Covid-19.

Julapun berkata, Kementerian Kewangan menjangkakan program moratorium tersebut akan membantu meningkatkan kecairan petani kecil supaya mereka mampu memperoleh wang mencukupi untuk menampung perbelanjaan isi rumah dalam keadaan ekonomi kini.

“Program ini juga akan memperluaskan peluang pelaburan mereka dan meningkatkan kecekapan dalam pengeluaran, yang akan membawa kepada lebih banyak kuasa beli tempatan dalam ekonomi akar umbi.

“Ini akan memberikan keselamatan kepada petani secara mampan,” kata Julapun.

Kerajaan yang mengambil alih jawatan bulan lalu dilihat memfokuskan pelbagai dasar baharu dalam bidang ekonomi.

Usaha itu dibuat bagi merangsang ekonomi yang lembap akibat kemerosotan eksport dan kejatuhan keyakinan pelabur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN