BANGKOK: Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn mengurangkan tempoh hukuman penjara bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra kepada setahun menerusi pengampunan diraja.
Perkara itu dimaklumkan menerusi warta diraja yang dikeluarkan semalam.
“Thaksin mengakui jenayah itu dan rasa bersalah atas kesalahan yang dilakukannya,” jelas dokumen itu.
Tambah dokumen itu, bekas perdana menteri Thailand itu ketika sedang sakit.
Thaksin sebelum ini dikenakan hukuman penjara selama lapan tahun atas tuduhan salah guna kuasa dan konflik kepentingan ketika waktu pentadbirannya.
Kelmarin, peguam mewakili Thaksin, Wiyat Chartmontri berkata, Thaksin sedang menyediakan dokumentasi diperlukan untuk memfailkan permohonan pengampunan diraja.
Bagaimanapun, katanya, permohonan itu akan dikemukakan berdasarkan budi bicara pemimpin itu.
Thaksin pulang semula ke Thailand selepas 15 tahun `hidup dalam buangan’ di luar negara.
Selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Muang dengan menaiki pesawat persendirian, Thaksin terus dibawa ke penjara untuk menjalani hukuman.
Pada hari pertama menjalani hukuman penjara sejurus kembali ke Thailand, bekas pemimpin itu dimasukkan ke hospital susulan mengalami masalah kesihatan.
Thaksin dilaporkan mengalami tekanan darah tinggi, tahap oksigen rendah dan insomnia ketika ditahan di wad perubatan di penjara reman Bangkok.