Dunia turut bersedih tragedi gempa bumi kuat di Maghribi - Utusan Malaysia

Dunia turut bersedih tragedi gempa bumi kuat di Maghribi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARRAKESH: Pemimpin bersama diplomat dari serata dunia serta badan antarabangsa bersimpati dan mengucapkan takziah, sekali gus menawarkan bantuan kepada Maghribi yang telah merekod lebih 2,000 kematian serta kemusnahan besar akibat gempa bumi kuat, lewat malam kelmarin.

Antara pemimpin asing menghulurkan solidariti itu ialah Perdana Menteri Sepanyol – negara jiran Maghribi – Pedro Sanchez yang menyatakan sokongan kuat kepada rakyat Maghribi dalam mengharungi detik sukar tragedi berkenaan.

Canselor Jerman, Olaf Scholz, serta Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, turut menzahirkan simpati terhadap mangsa, manakala Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, menyatakan kesediaan negara masing-masing untuk memberikan bantuan kecemasan kepada Maghribi.

Negara anggota Kesatuan Eropah melalui Majlis Eropah, dalam satu kenyataan pula berkata mereka amat berdukacita atas musibah yang melanda rakyat Maghribi itu.

“Sebagai rakan rapat dan rakan kongsi Maghribi, kami bersedia untuk membantu dalam apa jua cara,” menurut kenyataan itu dalam surat kepada Raja Maghribi, Raja Mohammed VI.

Presiden Ukraine, President Volodymyr Zelensky, mengucapkan takziah kepada Raja Mohammed VI dan seluruh rakyat Maghribi, sambil menzahirkan solidariti dalam situasi tragik itu.

Presiden Vladimir Putin dalam mesej kepada Raja Maghribi pula berkata, Russia berkongsi duka nestapa dan ratapan rakyat Maghribi.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, berkata beliau amat sedih dengan kehilangan nyawa akibat gempa bumi itu, manakala Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menawarkan sokongan dalam apa jua cara kepada Maghribi sebagai negara bersaudara.

Algeria yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Maghribi pada Ogos 2021 ketika kemuncak krisis antara kedua-dua negara itu tidak ketinggalan mengucapkan takziah, begitu juga Iran, Nigeria dan Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Moussa Faki Mahamat.

Agensi berita WAM melaporkan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan pula mengarahkan ‘penyediaan jambatan udara untuk menyampaikan bantuan kritikal.’

Raja Jordan, Raja Abdullah II, dan Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani, turut menyatakan kesediaan negara masing-masing untuk membantu Maghribi.

Antara organisasi dunia yang menzahirkan simpati serta dukacita ialah Bank Dunia, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berpangkalan di Jeddah dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya