JAKARTA: Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK), Firli Bahuri menegaskan, setiap warganegara berhak mengundi dan dipilih pada Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024 walaupun calon yang diletakkan merupakan bekas banduan kes rasuah.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada puluhan bekas pesalah kes rasuah yang menjadi calon anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan Dewan Perwakilan Daerah (DPD) pada Pemilu akan datang.
Firli berkata, bekas banduan atau mereka yang pernah disabit dengan kesalahan rasuah juga mempunyai hak untuk dipilih.
“Undang-undang kita menyatakan setiap warga negara boleh mempunyai hak untuk memilih dan dipilih. Tetapi ada batasan menurut undang-undang yang sudah dikaji secara kehakiman,” kata Firli ketika ditemui CNN Indonesia di kompleks Parlimen, Senayan.
Firli berkata, terdapat beberapa peraturan yang membolehkan bekas pesalah bertanding sebagai calon perundangan dalam pilihan raya di negara itu.
“Pertama, pernah dihukum namun tidak lebih daripada lima tahun penjara. Kemudian, mereka mesti mengakui bahawa mereka sudah menjadi banduan rasuah kepada orang ramai melalui media massa.
“Bekas banduan yang menyertai pilihan raya juga mesti mengumumkan kes yang mereka terlibat. Ini mesti dilakukan supaya orang ramai tahu rekod prestasinya,” jelasnya.
Katanya, terpulang kepada rakyat yang mempunyai hak untuk memilih sekiranya ada bekas banduan rasuah bertanding untuk menjadi calon legislatif pada Pemilu 2024.
“Nah, sudah tentu menjadi hak rakyat untuk memutuskan sama ada mereka akan terus mengundi atau tidak. Saya rasa itu peruntukannya, kerana proses undang-undang sudah selesai,” katanya.
Berdasarkan data Daftar Calon Sementara (DCS) yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU), terdapat 52 bekas pesalah rasuah yang menjadi calon DPR dan DPD pada Pemilu 2024.
Sementara itu, Penyelidik Pengawas Rasuah Indonesia (ICW), Kurnia Ramadhana berkata, tindakan parti politik yang memasukkan nama bekas pesalah rasuah sebagai calon legislatif adalah satu bentuk kegagalan dalam melahirkan pemimpin baharu yang berkualiti.