Bayi yatim dahaga susu ibu di Derna

Bayi yatim dahaga susu ibu di Derna

PEKERJA bantuan kecemasan menjaga kanak-kanak yang terjejas akibat banjir di Derna.- AGENSI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DERNA: Penduduk di barat Libya berhimpun untuk menyediakan khidmat penjagaan dan bekalan susu ibu kepada bayi yang menjadi yatim piatu akibat banjir besar melanda bandar pantai Derna sehingga mengorbankan ribuan orang.

Ratusan bayi dan kanak-kanak dipercayai kehilangan ibu bapa mereka di Derna, yang mana seluruh kawasan kejiranan itu musnah selepas dua empangan pecah dan memburukkan lagi banjir kilat yang melanda.  

Lapor The Guardian, anggota sukarelawan, Mona Alashi berkata, pihaknya terpaksa mencari golongan ibu menyusui bayi memandangkan anak kecil yatim tidak mahu menggunakan botol susu tiruan.

Seorang penduduk Benghazi dikenali sebagai Nawal Alghazal, 62, sudah memulakan kempen mengumpul susu ibu daripada wanita yang menyusukan anak mereka.

Nawal kemudian mengagihkan bekalan susu ibu berkenaan kepada bayi dan anak kecil yang mana ibu mereka sudah meninggal dunia atau hilang dalam tragedi tersebut.

“Buat masa ini, apa yang boleh kita lakukan untuk negara dan penduduk di Derna adalah menjaga bayi dan kanak-kanak terjejas itu,” kata Nawal.

Jelas Nawal, ketika ini dia sedang menjaga seramai 70 kanak-kanak kecil yang terjejas sejak bencana itu. 

Seorang lagi wanita bernama Marwa Abdelrazzaq memaklumkan dia sanggup menjaga seorang anak yatim Derna.

Malah, dia juga berjanji untuk memberikan penjagaan dan perhatian sama seperti dilakukan kepada anak perempuannya sendiri.

Sementara itu, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa atau terpisah daripada keluarga mereka lebih terdedah kepada bahaya seperti keganasan dan eksploitasi. 

Bagaimanapun, wartawan warga Libya, Noura Eljerbi mengingatkan supaya tidak tergesa-gesa memindahkan kanak-kanak terbabit sebelum kertas kerja disiapkan untuk mengklasifikasikan golongan itu sebagai anak yatim.

Noura menganggarkan kira-kira 400 kanak-kanak terpisah daripada keluarga mereka di Derna, dan kini tinggal di dua buah sekolah yang diubah suai menjadi tempat perlindungan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN