Alam terus 'mengamuk', Libya pula dilanda bah besar

Alam terus ‘mengamuk’, Libya pula dilanda bah besar

KEMUSNAHAN yang berlaku di bandar Derna di timur Benghazi, Libya akibat banjir besar. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRIPOLI: Ribuan orang dikhuatiri terkorban di timur Libya selepas banjir besar yang dibawa ribut Daniel menghanyutkan seluruh kawasan kejiranan dan memusnahkan rumah di beberapa bandar pesisir pantai negara itu.

EMPANGAN PECAH

Rakaman dari seberang timur Libya menunjukkan orang ramai terkandas di atas bumbung kenderaan mereka ketika bencana ribut itu melanda bandar Benghazi, Susa, Bayda, al-Marj dan Derna

Bandar Derna terputus hubungan selepas dua empangan lama dilaporkan pecah dan memburukkan lagi banjir kilat yang melanda.

Ketua Bulan Sabit Merah di Benghazi, Kais Fhakeri mengesahkan bahawa Ribut Daniel membunuh sekurang-kurangnya 150 orang di Derna, selepas paras air di bandar itu meningkat setinggi tiga meter.

Kais berkata, seorang anggotanya turut maut ketika cuba membantu sebuah keluarga yang terkandas di Bayda.

Wartawan Al Jazeera, Malik Traina yang melaporkan dari ibu kota, Tripoli berkata, pakar menganggarkan lebih 30 juta meter padu air melimpah ke bandar dan memusnahkan banyak kawasan kawasan kejiranan.

Jurucakap angkatan tentera negara yang berpangkalan di timur, Ahmed al-Mosmari memberitahu sidang akhbar bahawa jumlah kematian di Derna dikhuatiri melebihi 3,000 orang dengan jumlah yang hilang kemungkinan mencecah 10,000 orang.

Mereka yang hilang termasuk tujuh anggota Tentera Kebangsaan Libya (LNA), sebuah pasukan yang diketuai oleh komander tentera pemberontak Khalifa Haftar yang mengawal bahagian timur negara bergolak itu.

Video oleh penduduk bandar yang disiarkan dalam talian menunjukkan kemusnahan besar kawasan kediaman yang ditenggelami air dari pergunungan melalui pusat bandar.

Bangunan pangsapuri bertingkat yang terletak di belakang sungai sebahagiannya ditenggelami lumpur.

HARAP BANTUAN ANTARABANGSA

“Tiada sambungan internet dan tiada elektrik. Magnitud bencana yang berlaku di bandar Derna semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“Jumlah mangsa yang hilang dijangka meningkat kepada sekurang-kurangnya 5,000 orang.

“Tragedi yang berlaku di sana tidak diketahui masyarakat antarabangsa kerana terdapat cabaran untuk menghubungi dunia bagi memaklumkan apa yang sedang berlaku,” kata Presiden Majlis Kebangsaan Hubungan AS-Libya, Hani Shennib kepada Al Jazeera.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat menjadi satu cabaran kerana Libya kekal dibahagikan antara dua pentadbiran yang bersaing.

Kawasan di timur dan di barat masing-masing disokong oleh kumpulan bersenjata dan kerajaan asing, menyebabkan sumber yang disahkan tentang situasi sebenar bencana sukar diperoleh.

Sementara itu, Majlis Presiden Libya yang berpangkalan di Tripoli mengisytiharkan tiga bahagian wilayah Cyrenaica di timur negara itu sebagai kawasan bencana akibat banjir dan sudah memohon bantuan antarabangsa.

Parlimen Libya yang berpangkalan di timur dan Perdana Menteri kerajaan sementara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa di Tripoli, Abdul Hamid Dbeibah mengisytiharkan tiga hari berkabung di semua bandar yang terjejas dan menggelarnya kawasan bencana.

Empat pelabuhan minyak utama di Libya turut ditutup selama tiga hari dengan pihak berkuasa menutup sekolah dan kedai serta mengenakan perintah berkurung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya