BANGKOK: Seorang wanita nyaris termakan mata kail selepas dia menemukannya dalam menu masakan ikan keli yang dipesan dari sebuah restoran di daerah Pak Kret, Nonthaburi.
Lapor The Thaiger, wanita yang dikenali sebagai June, 31, menceritakan pada 27 Julai lalu dia dan rakannya memesan menu tersebut menerusi perkhidmatan penghantaran makanan di sebuah restoran yang tidak jauh dari kediamannya.
Katanya, pesanan itu termasuk dua ketul ikan keli masak pedas, nasi kosong dan nasi dengan hidangan kambing.
Tambahnya, ketika mereka menikmati makanan tengah hari itu, tiba-tiba dia terjumpa mata kail beserta tali pancing dalam potongan isi ikan tersebut.
“Lauk ikan keli ini adalah menu kegemaran saya, namun apabila saya terjumpa mata kail ini, ia sekali gus mencetuskan persoalan bagaimana restoran ini mengabaikan piawaian keselamatan dan kebersihan masakan mereka,” katanya.
Selepas penemuan itu, June menghubungi restoran tersebut dan menceritakan penemuan berkenaan.
Namun, restoran tersebut menegaskan pekerjanya telah membersihkan ikan itu dengan teliti.
Katanya, pihak restoran menawarkan menu sama sebagai ganti rugi, namun June menyatakan dia menjadi trauma dan hanya meminta wangnya dipulangkan semula.
Sanook melaporkan, restoran itu memulangkan semula wang wanita tersebut sebanyak 120 baht (RM15) dan menggesa semua pekerjanya berhati-hati menghidangkan makanan berasaskan ikan kerana bimbang kejadian serupa berlaku kepada pelanggan lain.