BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dijangka pulang ke tanah air pada Selasa depan, iaitu pada hari yang sama undian Parlimen bagi menentukan siapa perdana menteri baharu negara ini.
Hartawan berusia 74 tahun itu digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2006 dan menjalani hidup dalam buangan selama 15 tahun.
Thaksin sebelum ini sudah beberapa kali menyatakan hasrat untuk pulang ke Thailand, namun beliau berdepan dengan sejumlah dakwaan jenayah.
“Pada Selasa bersamaan 22 Ogos, pada pukul 9 pagi, saya akan menjemput bapa saya, Thaksin di Lapangan Terbang Don Muang,” tulis anak perempuannya, Paetongtarn Shinawatra dalam Instagram.
Dalam pada itu, penganalisis politik berpendapat, Thaksin mungkin akan dibawa terus pusat tahanan sebelum menjalani perbicaraan di mahkamah sebaik sahaja tiba di Thailand.
“Beliau membuat keputusan untuk pulang kerana beliau yakin tidak akan ditahan atau menjadi mangsa politik negara ini,” kata Verapat Pariyawong. – AFP