Thaksin belum sihat sepenuhnya, masih dirawat di hospital

Thaksin belum sihat sepenuhnya, masih dirawat di hospital

THAKSIN SHINAWATRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dilaporkan masih belum baik sepenuhnya sejak dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ketua pakar perubatan di Hospital Umum Polis, Dr. Sophonrat Singhajaru berkata, hasil keputusan ujian imbasan ekokardiogram dan paru-paru yang dilakukan menunjukkan keadaan jantung serta paru-paru Thaksin masih membimbangkan. 

Bagaimanapun, kata Sophonrat, tekanan darah bekas pemimpin itu masih kekal stabil.  

Lapor Bangkok Post, Thaksin sedang dirawat di unit rawatan IMCU yang terletak di tingkat 14 Bangunan Maha Bhumibol Rachanusorn 88 Phansa.

Menurut Sophonrat, ketika ini, Thaksin masih boleh berkomunikasi dan semua laporan perubatannya sudah dihantar kepada ketua pengarah hospital, Ayuth Sintoppant.  

“Saya tidak dapat pastikan berapa lama bekas pemimpin itu perlu berada di hospital,” katanya. 

Berhubung dakwaan Thaksin akan dipindahkan ke hospital swasta, Sophonrat mengesahkan bekas pemimpin itu tidak akan dihantar ke pusat perubatan terbabit kerana hospital umum itu mempunyai kapasiti dan peralatan mencukupi untuk merawatnya melainkan diminta oleh ketua pengarah.

Tambah beliau, butiran lanjut mengenai rawatan Thaksin tidak boleh didedahkan disebabkan undang-undang privasi pesakit. 

Thaksin, 74, dimasukkan ke hospital selepas mengalami tekanan darah tinggi, tahap oksigen rendah dan insomnia pada malam pertama berada di penjara.

Thaksin dipindahkan ke pusat rawatan berkenaan pada hari pertama menjalani hukuman penjara sejurus kembali ke Thailand pada Selasa lalu.

Mahkamah Agung Thailand menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas Thaksin selepas disabitkan atas tuduhan penyalahgunaan kuasa dan konflik kepentingan.

Thaksin pulang ke Thailand selepas 15 tahun hidup dalam buangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN