DUBAI: Ketua kumpulan konglomerat berpangkalan di Dubai mendakwa pentadbiran Taliban di Afghanistan menyekat 100 wanita daripada meninggalkan negara itu untuk menyambung pengajian universiti di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Khalaf Ahmad Al Habtoor, yang mahu membiayai kos pengajian mereka, adalah pengasas merangkap pengerusi Kumpulan Al Habtoor, memaklumkan perkara itu dalam paparan video di platform X.
“Saya merancang untuk membiayai kos pembelajaran wanita terbabit di universiti dan sebuah pesawat ditempah bagi membawa mereka ke UAE pada pagi Rabu.
“Namun, kerajaan Taliban enggan membenarkannya dan melarang mereka menaiki penerbangan datang ke sini, walaupun kami sudah membayar tambang perjalanan dan menguruskan segala-galanya termasuk penginapan, pengangkutan, pendidikan dan keselamatan,” katanya.
Jurucakap pentadbiran Taliban dan Kementerian Hal Ehwal Luar Afghanistan tidak membalas permintaan Reuters bagi mendapatkan komen mereka.
Malah, kata Al Habtoor, ada antara pelajar berkenaan yang ditemani mahram lelaki tetapi masih dihalang daripada menaiki penerbangan.
Pentadbiran taliban sudah pun menutup universiti dan sekolah menengah bagi pelajar perempuan di Afghanistan.
Warga Afghanistan dibenarkan ke luar negara tetapi pada kebiasaannya mensyaratkan wanita Afghanistan yang melakukan perjalanan jauh ke luar negara ditemani mahram lelaki seperti suami, bapa atau abangnya. – REUTERS