BANGKOK: Kemelut politik di Thailand dilihat semakin rumit apabila senator yang sebelum ini menolak calon Parti Move Forward (MFP) masih berbelah-bagi untuk memberikan sokongan kepada wakil Parti Pheu Thai, Sretta Thavisin yang dicalonkan dalam undian Perdana Menteri baharu di Parlimen.
BERBELAH BAHAGI
Senator Seree Suwanpanont berkata, 250 anggota yang bakal mengundi perlu menyemak kelayakan Sretta terlebih dahulu serta bertanya bagaimana ikrar pilihan raya Pheu Thai akan dilaksanakan.
“Para senator mahu mendengar Srettha menjelaskan di Parlimen tentang ikrarnya termasuk bagaimana pemberian wang digital 10,000 baht akan dibiayai sebelum membuat pilihan,” katanya.
Bagaimanapun Seree berkata, beliau tidak jelas sama ada majoriti senator akan mengundi Sretta seperti yang disebut oleh Senator, Wanchai Sonsiri sebelum ini.
“Secara asasnya, perkara boleh berubah sebelum pengundian. Jika calon perdana menteri gagal memenuhi kelayakan yang ditetapkan oleh perlembagaan, pencalonannya boleh ditarik balik,” jelasnya dipetik Bangkok Post.
Ditanya sama ada pengundian Perdana Menteri baharu akan diadakan pada 22 Ogos ini, Seree berkata, perkara itu terpulang kepada Speaker Parlimen, Wan Muhamad Noor Matha untuk menetapkan tarikh pengundian tersebut.
“Selepas Mahkamah Perlembagaan memutuskan sama ada keputusan berkenaan penolakan Parlimen terhadap penamaan semula pemimpin MFP, Pita Limjaroenrat menepati undang-undang, undian boleh diadakan pada 21 atau 22 Ogos,” katanya.
TAWAR-MENAWAR
Senator Kittisak Rattanawaraha turut menyatakan pendapat sama tentang masa depan Sretta.
“Masih ada beberapa hari lagi dan apa sahaja boleh berlaku sebelum undian berlangsung,” katanya.
Bagaimanapun, ketika ditanya tentang kumpulan 40 ahli Parlimen Parti Palang Pracharath (PPRP) yang mendakwa akan mengundi untuk calon Pheu Thai itu, Kittisak berkata, kedua-dua parti itu masih belum mengumumkan perjanjian untuk bekerjasama.
“Tetapi ini boleh dilihat sebagai isyarat tawar-menawar untuk apa yang mereka mahukan. Jika mereka tidak mendapat apa yang mereka minta, Pheu Thai mungkin tidak mendapat sokongan yang mencukupi.
“Nampaknya mereka cuba menekan Pheu Thai untuk bergantung sepenuhnya kepada Pemimpin PPRP, Jeneral Prawit Wongsuwon kerana Pheu Thai tidak boleh lagi beralih kepada parti MFP.
“Sekarang ini, mereka yang mempunyai kelebihan ialah Prawit dan pemimpin parti Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul. Jika salah satu atau kedua-duanya menarik diri, gabungan pimpinan Pheu Thai akan tumbang. Jika Prawit bukan sebahagian daripada kerajaan, senator yang rapat dengannya tidak akan mengundi Srettha,” tambahnya.
Sebelum ini Wanchai mendakwa calon Perdana Menteri dari parti Pheu Thai akan menerima 90 peratus sokongan selepas berpisah daripada MFP, yang dasarnya untuk meminda Seksyen 112 Kanun Jenayah ditentang oleh banyak senator.
“Apabila Pheu Thai menunjukkan bahawa parti itu boleh mengumpul sokongan yang mencukupi, para senator bersedia mengundi calon perdana menterinya, tidak kira sama ada PPRP Parti Bangsa Thai Bersatu (UTN) adalah sebahagian daripada gabungan pimpinan Pheu Thai,” katanya.