JAKARTA: Ketua Umum Parti Gerindra Indonesia, Prabowo Subianto kini dilihat lebih mesra dan tenang dalam usahanya mengambil hati rakyat untuk meraih lebih banyak sokongan menjelang Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Parti Gerindra, Andre Rosiade berkata, banyak perubahan berlaku selepas Prabowo memutuskan untuk menyertai Kabinet Indonesia Maju.
Andre turut bersetuju dengan tanggapan bahawa Prabowo kini dianggap lebih ramah berbanding ketika bertanding pada pilihan raya tahun 2014 dan 2019.
Bagaimanapun Andre berkata, Prabowo tidak berubah secara peribadi sebaliknya percaya beliau menggunakan pendekatan lebih santai berbanding sebelum ini.
Jelasnya, perubahan sikap itu juga tidak boleh dipisahkan daripada pengaruh Presiden, Joko Widodo (Jokowi).
“Dia belajar banyak daripada Jokowi sehingga begitu banyak hal yang berlaku. Tetapi peribadi Prabowo masih tetap sama, cuma kini lebih santai dan tenang,” ujar Andre ketika menjadi tetamu jemputan program politik CNN Indonesia.
Sebelum ini, Prabowo mengakui tidak malu untuk belajar dan menimba pengalaman daripada Jokowi malah menegaskan perubahan dalam dirinya berlaku secara semula jadi selepas sering dianggap terlalu kaku dan formal.
Selepas kekalahan kedua dalam Pilpres 2019, Prabowo memutuskan untuk menyertai Kabinet sebagai Menteri Pertahanan dan dilihat kerap menemani Jokowi dalam lawatan kerja.
Menjelang Pilpres 2024, Prabowo membina gabungan dengan Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Golkar, Parti Amananat Nasional (PAN) dan Parti Bulan Bintang (PBB) tetapi sehingga kini masih belum menentukan calon Timbalan Presiden.