JAKARTA: Ketua Umum Parti Gerindra, Prabowo Subianto berjanji akan menyediakan bantuan makan tengah hari dan susu percuma kepada semua pelajar sekolah di negara itu sekiranya terpilih sebagai Presiden Indonesia pada pilihan raya tahun depan.
Perkara itu disampaikan Setiausaha Agung Parti Gerindra, Ahmad Muzani ketika menghadiri majlis rapat umum besar-besaran parti tersebut di Pekan Jonggol di Bogor.
“Jika Prabowo menjadi Presiden maka semua pelajar akan mendapat makan tengah hari dan susu percuma dari kerajaan.
“Kita akan menyediakan makanan berkhasiat seperti ikan, daging dan sayur-sayuran secara percuma sebagai satu cara untuk meningkatkan kecerdasan minda (IQ) dan minat anak-anak kita untuk belajar.
“Indonesia mempunyai tahap penduduk yang tinggi tetapi purata IQ masih rendah dengan masalah terbantut atau kekurangan zat makanan yang menyebabkan prestasi pelajar terganggu,” katanya.
Muzani berkata, rancangan itu dipertimbangkan agar wacana Sumber Manusia Indonesia Maju pada 2045 dapat direalisasikan.
“Prabowo merasakan purata IQ rendah penduduk Indonesia perlu ditangani mulai sekarang, agar pada tahun 2045 kita dapat melahirkan penerus bangsa Indonesia dengan sumber manusia yang berkualiti,” kata Muzani.
Jelas Muzani, Prabowo akan turut meningkatkan pemberian bantuan sosial kepada keluarga miskin melalui biasiswa untuk murid sekolah dan pelajar universiti selain memperkasa saluran dana di setiap desa di seluruh negara.