BANGKOK: Perdana Menteri baharu Thailand, Srettha Thavisin dijangka memegang portfolio tambahan sebagai Menteri Kewangan dalam barisan Kabinetnya.
Perkara itu dimaklumkan oleh dua pegawai dari Parti Pheu Thai yang enggan mendedahkan identiti mereka..
Malah, sumber dari kerajaan yang mengetahui perkara itu turut mengesahkan Srettha akan menjadi menteri kewangan.
Srettha, 61, dijangka menyusun barisan Kabinet yang terdiri daripada 11 parti gabungan dalam beberapa minggu akan datang.
Beliau yang juga merupakan taikun hartanah hanya menyertai politik beberapa bulan lalu sebelum pilihan raya umum diadakan pada Mei lalu.
Sebelum ini, Raja Thailand memberi perkenan untuk pelantikan Srettha sebagai Perdana Menteri baharu negara itu.
Langkah itu sekali gus membuka jalan kepada pemimpin itu menyandang jawatan tertinggi negara secara rasmi.
Srettha yang sudah sekian lama dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, bakal memimpin kerajaan gabungan yang turut merangkumi parti pro-tentera.
Beliau memenangi pengundian di Parlimen dengan memperoleh 482 undi menyokong manakala 165 menentang dan 81 berkecuali.
Semalam, Srettha berkata, barisan Kabinet akan dimuktamadkan dalam tempoh beberapa hari lagi.
Kata beliau, pucuk pimpinan parti sudah memutuskan ahli mana yang akan memegang portfolio kementerian. – REUTERS/AGENSI