BANGKOK: Timbul spekulasi mendakwa Parti Pheu Thai dan penyokongnya yang digelar baju merah mahu bersatu dengan parti kerajaan sementara ketika ini untuk menghalang Parti Move Forward (MFP) daripada mentadbir biarpun mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya lepas.
Pheu Thai bersama lapan lagi parti kini dalam pakatan bersama MFP bagi membentuk kerajaan baharu selepas pilihan raya.
Menurut ahli akademik Thailand, Prof. Phichai Ratanatilaka Na Bukhet Pheu Thai mungkin mahu bersatu dengan parti kerajaan sementara selepas mereka didesak supaya menyingkirkan MFP.
“Situasi itu (penyokong baju merah dan kuning bersatu) mungkin boleh bila-bila masa ketika ini dan sekiranya benar berlaku, perjuangan MFP dalam politik sudah berakhir,” katanya.
Di sebalik ketidaktentuan politik di negara ini, Phichai mendakwa Pheu Thai ketika ini ‘terlalu sibuk untuk membawa bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra pulang ke Thailand’.
Katanya, parti itu lebih mementingkan kepulangan Thaksin berbanding menyusun strategi untuk membentuk kerajaan baharu.
“Pheu Thai sepatutnya fokus bagaimana untuk meraih lebih banyak undian bagi membentuk kerajaan baharu berbanding sibuk membawa pulang Thaksin,” ujarnya seperti yang dilaporkan Bangkok Post.
Jelasnya, jika calon Pheu Thai tidak mampu meriah undi yang mencukupi, maka parti itu perlu ‘memulangkan semula hak kepada MFP’ untuk membentuk kerajaan.
Dalam pada itu, calon Pheu Thai, Srettha Thavisin dijangka dicalonkan sebagai perdana menteri baharu dalam undian Parlimen pada Jumaat ini.
Selain itu, Phichai mendedahkan, satu perjanjian rahsia yang berusaha membawa Thaksin pulang ke Thailand ‘tidak akan dilaksanakan’, sekali gus mematahkan hasrat sesetengah pihak yang berharap dapat melihat bekas perdana menteri itu pulang ke tanah air.
Bekas pengerusi penyokong baju merah atau Barisan Bersatu bagi Demokrasi Menentang Diktator (UDD), Jatuporn Prompan pula berkata, beliau tidak percaya Thaksin akan pulang ke Thailand pada 10 Ogos ini kerana bekas pemimpin itu pasti akan dipenjarakan.