JAKARTA: Golongan peruncit di Indonesia mengancam untuk mengurangkan stok minyak masak di pasaran kerana belum mendapat kepastian berhubung pembayaran pampasan berjumlah lebih 344 bilion rupiah (RM104.5 juta) yang dijanjikan kerajaan.
Ketua Umum Persatuan Peruncit Indonesia (Aprindo), Roy Nicholas Mandey berkata, kerajaan masih belum menjelaskan ‘hutang’ kepada peruncit berkaitan pembayaran perbezaan harga minyak masak dalam program satu harga yang dibuat tahun lalu.
Katanya, berikutan masalah itu, usahawan runcit akan mengadakan bantahan kepada kerajaan dengan cara mengurangkan pengambilan stok minyak masak daripada pengedar dan pengeluar.
“Ini adalah hasil pertemuan dengan 31 peruncit. Jadi perkara ini bukan dari Aprindo. Tetapi kami hanya sampaikan pesanan ini daripada peruncit bahawa akan ada pemotongan bil untuk pengedar atau pembekal minyak masak daripada syarikat runcit.
“Sekiranya langkah ini tidak berjaya membuat kerajaan membayar hutang kepada usahawan, pihak kami akan mengemukakan saman melalui Mahkamah Pentadbiran Negeri (PTUN),” katanya dipetik Detik.com.
Bagaimanapun, Roy Nicholas memaklumkan, pihaknya belum dapat memastikan tarikh sebenar tindakan bantahan itu akan bermula.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Perdagangan, Jerry Sambuaga percaya langkah yang diambil oleh peruncit tidak akan menjadikan minyak masak semakin berkurangan di pasaran kerana masyarakat mempunyai banyak akses termasuk perdagangan dalam talian.
Jerry berkata, kementeriannya menghargai usaha Aprindo sebagai pemegang amanah dan mengajak badan tersebut untuk meneruskan perbincangan bagi menyelesaikan masalah tersebut.