Pertempuran ganas di kem pelarian Palestin, 11 maut - Utusan Malaysia

Pertempuran ganas di kem pelarian Palestin, 11 maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIDON: Sekurang-kurangnya 11 orang maut dan puluhan lain cedera dalam pertempuran selama tiga hari di kem pelarian Palestin Ain al-Helweh di selatan Lubnan.

Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian Palestin (UNRWA) bagi pelarian Palestin, memaklumkan pertempuran itu tercetus sejak hujung minggu lalu.

Pertempuran berlaku antara anggota pergerakan sekular Fatah dan pejuang yang berpangkalan di kem terbesar di Lubnan, terletak di bandar pesisir pantai Sidon.

Pengarah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan, Dorothee Klaus, berkata seramai 11 terbunuh dan 40 lagi cedera, termasuk seorang kakitangan UNRWA.

Beliau, dalam satu kenyataan, menambah bahawa UNRWA ‘menggantung sementara’ operasi di kem itu akibat pertempuran terbabit.

Katanya, dua sekolah UNRWA mengalami kerosakan dan lebih daripada 2,000 penduduk Ain al-Helweh terpaksa melarikan diri.

“UNRWA menggesa semua pihak untuk segera kembali tenang dan mengambil langkah yang perlu untuk melindungi orang awam, termasuk kanak-kanak,” katanya.

Sekurang-kurangnya lima anggota Fatah dan seorang militan terbunuh dalam keganasan awal pada hujung minggu lalu.

Semalam, puluhan orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, meninggalkan kem dengan membawa beg ringan, manakala yang lain berlindung di masjid berhampiran.

Ain al-Helweh, kini menempatkan lebih 54,000 pelarian berdaftar, khas untuk rakyat Palestin yang dihalau keluar atau melarikan diri ketika perang 1948.

Keganasan terbaharu bermula lewat Sabtu lalu, menyebabkan seorang terbunuh dan mencederakan enam yang lain.

Keesokan harinya, seorang ketua tentera Fatah dan empat rakannya terbunuh ketika ‘operasi’, kata kumpulan itu.

Lubnan menempatkan kira-kira 250,000 pelarian Palestin, menurut UNRWA. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN