Majikan Singapura didakwa guna polis kawal pembantu rumah

Majikan Singapura didakwa guna polis kawal pembantu rumah

SEORANG pembantu rumah mencuci tingkap sebuah kediaman di Singapura.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Majikan Singapura didakwa sering menggunakan laporan polis sebagai alat untuk mengancam dan mengawal pembantu rumah mereka.

Bagaimanapun lebih 80 peratus laporan polis yang dibuat oleh majikan terhadap pembantu rumah mereka tidak membawa kepada sebarang pertuduhan.

Menurut laporan Pertubuhan Kemanusiaan untuk Ekonomi Migrasi ( HOME), majikan di negara kota Singa itu mengambil kesempatan menggunakan sistem keadilan jenayah kerana mengetahui kelemahan status permit kerja pembantu rumah mereka.

Laporan kumpulan hak asasi manusia tersebut turut mendedahkan pekerja domestik yang dituduh melakukan jenayah lazimnya akan terus disekat daripada meneruskan kerja mereka.

Malah golongan tersebut boleh dihalang daripada memohon sebarang pekerjaan pada masa hadapan di Singapura selepas menerima amaran polis, sekali pun tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan.

“Yang penting, penemuan itu menunjukkan bagaimana polis dan sistem keadilan jenayah digunakan sebagai ancaman, ugutan, alat punitif selain untuk membalas dendam terhadap pembantu rumah asing,” kata HOME dalam laporan itu yang dipetik Al Jazeera.

Laporan yang dikeluarkan minggu lalu itu dibuat berdasarkan lebih 100 kes membabitkan pembantu rumah asing yang dituduh melakukan jenayah antara 2019 dan 2022.

HOME menyusun laporan itu sebagai tindak balas kepada kes berprofil tinggi bekas pembantu rumah Parti Liyani, yang dituduh mencuri barangan bernilai 30,000 dolar Singapura (RM102,960) daripada bekas pengerusi Kumpulan Lapangan Terbang Changi, Liew Mun Leong dan keluarganya.

Sabitan kecurian Parti pada 2019 dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada September 2020 dan anak lelaki Liew dijatuhi hukuman penjara dua minggu kerana berbohong semasa perbicaraan.

HOME berkata, tuduhan yang paling biasa dibuat terhadap pembantu rumah melibatkan kes kecurian dengan kebanyakannya hanya kerana kesalahan kecil.

Dalam satu kes, seorang majikan membuat laporan polis terhadap pembantu rumah mereka hanya kerana didakwa mencuri 10 dolar Singapura (RM34.20)

“Tuduhan kecurian boleh dibuat dengan sangat mudah, memerlukan sedikit atau tanpa sebarang bukti tetapi tidak memberi banyak impak negatif kepada majikan sebaliknya kesan tidak seimbang dan berpotensi membawa bencana dilihat berlaku kepada pekerja asing itu tanpa mengira hasil siasatan kes,” kata laporan itu.

Penderaan fizikal pula merupakan tuduhan kedua tertinggi yang menyumbang 13 peratus daripada kes melibatkan pekerja domestik asing.

Jelas Home, hanya 18 peratus laporan polis membawa kepada tuduhan jenayah sementara 36 peratus lagi tidak menyebabkan tindakan lanjut.

Sebanyak 43 peratus kes pula melibatkan amaran keras yang boleh dikeluarkan oleh pihak berkuasa mengikut budi bicara mereka sebagai ganti kepada pendakwaan.

Dalam laporannya, HOME mengesyorkan bahawa pekerja domestik yang bekerjasama dengan penyiasatan harus dibenarkan untuk terus bekerja.

Badan tersebut turut meminta pekerja yang diberi amaran keras tidak seharusnya dihalang daripada bekerja pada masa hadapan termasuk diberi kebebasan lebih besar untuk menukar majikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN