LIMA: Sekumpulan penjenayah didakwa menggunakan jetpack untuk menakutkan-nakutkan penduduk setempat agar mereka tidak mengganggu kawasan yang penuh dengan galian emas.
Terdahulu, beberapa laporan penemuan `makhluk asing setinggi tujuh kaki’ didakwa berlegar-legar di ruang udara di sebuah kampung di Peru, tular dalam media sosial pada minggu lalu.
Pemimpin tempatan menyifatkan makhluk tersebut sebagai `ancaman berperisai’ dan kalis terhadap peluru.
Malah, penduduk kampung juga membandingkannya dengan bunian dan kisah tahyul tempatan Peru iaitu `los Pelacaras’.
Bagaimanapun, penguatkuasa undang-undang Peru mendakwa ia sebenarnya merupakan geng mafia terlibat dalam aktiviti perlombongan emas secara haram.
Lapor Daily Mail, Pejabat Pendakwa Raya Peru yang sedang menyiasat kes itu, mendakwa kumpulan penjenayah bertanggungjawab atas insiden berkenaan.
“Kartel lombong emas haram yang menggunakan jetpack itu mahu mencetuskan ketakutan agar penduduk kekal berada di rumah dan menjauhkan diri dari kawasan lombong emas,” katanya.
Pendakwa raya mengesyaki kartel perlombongan emas haram itu pada mulanya menggunakan jetpack untuk mengesan lebih banyak kawasan emas di hutan sekitar sungai Nanay Peru.
Dilaporkan, kawasan penempatan komuniti Ikitu di Peru dikelilingi hutan tebal di pedalaman Alto Nanay.
Sementara itu, seorang penduduk Ikitu mendakwa pihaknya melihat `mahluk menggunakan jetpack’ pada 11 Julai lalu.
“Saya cuba menembaknya sebanyak dua kali namun ia tidak jatuh. Ia kemudian muncul semula dan terus hilang.
“Penduduk kini amat takut dengan kehadiran makhluk ini di perkampungan kami,” kata Reátegui Ávila.