OGAN ILIR: Seorang lelaki mendakwa menemukan kepingan emas yang mempunyai wajah presiden pertama Indonesia, Soekarno di Sungai Komering, Ogan Ilir di Sumatera Selatan, baru-baru ini.
Namun, ‘kepingan emas’ itu dilaporkan banyak dijual secara dalam talian.
Ketua Balai Pelestarian Kebudayaan Sumatera Selatan, Kristanto berkata, jika dilihat dengan mata kasar, kepingan itu tidak kelihatan seperti emas.
Namun, bagi memastikannya, pihaknya perlu melakukan pemeriksaan teliti bagi mengenal pasti sama ada objek itu emas atau sebaliknya.
“Penemuan seperti itu banyak dijual secara dalam talian, jadi kita tidak boleh sahkan sama ada kepingan itu adalah emas asli atau bukan.
“Kami akan lakukan penelitian rapi dan umumkan kepada masyarakat supaya tidak timbul kekeliruan pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, pihak berkuasa meminta penduduk setempat berhenti mencari objek yang didakwa emas di Sungai Komering.
Sejumlah anggota polis turut ditempatkan di sungai berkenaan bagi mengawal keadaan selepas jalan menjadi sesak ekoran ramai penduduk kampung memenuhi kawasan tersebut.
Terdahulu, seorang lelaki dikenali sebagai Septa mendakwa menemukan kepingan emas dengan wajah Soekarno di sungai berkenaan.