BANGKOK: Pengumuman terbaharu bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra untuk kembali ke Thailand dilihat sebagai cerminan keyakinannya terhadap pembentukan kerajaan baharu oleh parti Pheu Thai.
Namun ramai pemerhati politik masih ragu-ragu tentang niat sebenar kepulangannya.
PULANG KE TANAH AIR
Kepulangan Thaksin dijadualkan esok, hari yang sama Parlimen akan bermesyuarat untuk memilih Perdana Menteri ke-30 negara itu.
Pheu Thai yang dijangka mencalonkan taikun hartanah, Srettha Thavisin untuk jawatan itu, dengan membawa Parti United Thai Nation (UTN) pimpinan Jeneral Prayut Chan-O-cha ke dalam gabungannya.
Parti Palang Pracharath (PPRP) berikrar untuk menyokong calon Pheu Thai walaupun tidak secara rasmi menyertai perikatan itu.
Menurut anak bongsu Thaksin, Paetongtarn Shinawatra, bapanya akan tiba di lapangan terbang Don Mueang pada pukul 9.00 pagi (waktu tempatan) dengan jet peribadinya.
Thaksin dan adiknya, Yingluck Shinawatra dilaporkan meninggalkan Dubai menuju ke Singapura kelmarin.
Paetongtarn dan bekas abang ipar Thaksin, Banpot Damapong dilaporkan menemuinya di Singapura sebelum mereka semua terbang bersamanya ke Thailand.
CETUS PERSOALAN
Thaksin sebelum ini mengumumkan akan kembali ke Thailand pada 10 Ogos, tetapi kemudiannya menangguhkan perjalanan kerana temu janji pemeriksaan kesihatan, menyebabkan penganalisis politik kurang yakin dengan berita itu.
Pensyarah Sains Politik Universiti Terbuka Sukhothai Thammathirat, Yutthaporn Issarachai berkata, sama ada Thaksin kembali atau tidak, pengumumannya sekadar sebagai strategi untuk meningkatkan keyakinan dalam kalangan ahli dan penyokong Pheu Thai.
“Tetapi saya tidak pasti sama ada keajaiban Thaksin masih berfungsi untuk mengubah undian sekarang kerana keadaan politik sudah berubah. Pheu Thai tidak dapat mendominasi pilihan raya, jadi kepulangannya mungkin tidak membawa banyak perbezaan,” katanya kepada Bangkok Post.
Bekas Pengerusi Barisan Bersatu bagi Demokrasi Menentang Diktator, Jatuporn Prompan berkata, Thaksin sudah kehilangan kredibiliti malah janjinya untuk pulang masih sukar dipercayai sehingga beliau benar-benar dilihat berada di tanah air.
Jatuporn berkata, Thaksin boleh kembali pada bila-bila masa tetapi keputusannya memilih 22 Ogos yang bertepatan dengan undian pemilihan Perdana Menteri, menunjukkan kedua-dua perkembangan itu seakan mempunyai kaitan.
“Mungkin ada perubahan taktik. Thaksin menolak untuk memasuki sistem keadilan selama 15 tahun dan kini sudah berubah hati.
“Tunggu sehingga kita benar-benar melihatnya sendiri. Thaksin beberapa kali berbohong mengenainya rancangan kepulangannya,” katanya.
Pengarah Institut Politik dan Analisis Dasar, Thanaporn Sriyakul berpendapat, Thaksin memilih untuk kembali ke tanah air bulan ini kerana berasa yakin tentang peluang Pheu Thai membentuk kerajaan seterusnya.
“Kepulangan Thaksin agak baik untuk gabungan Pheu Thai kerana rakan kongsi mahu bercakap secara langsung dengan beliau. Mereka masih boleh berhubung dengannya walaupun ketika berada di luar negara tetapi pastinya lebih mudah jika dia berada di sini,” katanya.
Thanaporn bagaimanapun meragui Srettha akan memegang jawatan Perdana Menteri kerana berpandangan Thaksin sepatutnya berasa paling yakin untuk kembali jika anak perempuannya yang dipilih menggalas tanggungjawab itu.
Dalam pada itu, pemangku Menteri Kehakiman, Wissanu Krea-ngam berkata, kementeriannya masih belum dimaklumkan secara rasmi berhubung rancangan kepulangan Thaksin ke tanah air namun persediaan sudah dibuat.
Menurut Wissanu, Thaksin akan dibawa ke mahkamah sebelum dihantar ke penjara khas jika beliau tiba di Thailand.