YANGON: Angka kematian akibat tanah runtuh di sebuah lombong jed di utara Myanmar meningkat kepada 31 orang dengan lapan lagi dilaporkan masih hilang.
Anggota penyelamat memaklumkan, enam lagi mayat ditemukan pagi tadi.
“Lapan orang masih tidak dapat dikesan dan operasi pencarian diteruskan.
“Anggota penyelamat menggali lumpur tebal untuk mencari mayat, malah ada yang ditemukan terapung di dalam air,” katanya.
Bencana tersebut berlaku Ahad lalu selepas hujan lebat dan banjir besar melanda wilayah berkenaan.
Perlombongan jed terkenal di Myanmar kerana permintaan tinggi dari negara jiran China, tetapi industri yang tidak terkawal itu dibelenggu dengan kekerapan kematian pekerja.
Myanmar yang merupakan sumber jed terbesar di dunia mengakibatkan hampir 300 orang kehilangan nyawa pada 2020 dalam tragedi tanah runtuh di lombong Hpakant.-AFP