JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) memberi peringatan bahawa pemimpin yang dipilih dalam tiga penggal akan datang perlu bersedia memikul tanggungjawab berat kerana tempoh berkenaan bakal menjadi penentu nasib negara itu kelak.
Mesej yang disampaikan Jokowi dalam Rapat Kerja Nasional yang disiarkan di saluran YouTube Sekretariat Presiden itu secara khusus ditujukan kepada presiden yang dipilih dalam tempoh 2024, 2029 dan 2034.
“Kepimpinan selama 13 tahun akan datang adalah tempoh yang sangat penting dalam menentukan masa depan dan hala tuju negara.
“Kepimpinan ketika itu akan menentukan adakah negara ini masih terperangkap dalam golongan berpendapatan sederhana atau berjaya keluar untuk menjadi negara maju. Jadi hati-hatilah kepimpinan pada 2024, 2029 dan 2034, andalah penentunya,” kata Jokowi.
Jokowi turut menekankan bahawa tempoh tersebut juga menjadi detik penting dalam menentukan peluang Indonesia menjadi antara lima negara teratas dengan ekonomi terkuat di dunia walaupun cabaran yang mendatang bukan mudah.
Namun jelasnya, strategi ke arah Indonesia maju sudah dirangka sepenuhnya termasuk kemajuan program hiliran barangan mentah yang kini memberi pulangan besar kepada pendapatan negara.
“Pemimpin masa depan akan menentukan sama ada negara ini, boleh melompat ke hadapan atau tidak.
“Saya beri contoh nikel. Apabila kita mengeksport bahan mentah sebelum 2020, kita akan mendapat sekitar AS$2.1 bilion (RM9.75 bilion) setahun. Sebaik sahaja program hiliran dimajukan ia menjadi AS$33.8 bilion (RM157 bilion). Boleh dinilai berapa kali ganda lonjakannya,” katanya.