Kerajaan panggil pemimpin negeri minggu depan

Kerajaan panggil pemimpin negeri minggu depan

ANWAR Ibrahim menyantuni jemaah selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam, semalam. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan akan memanggil Menteri Besar (MB), Premier dan Ketua Menteri (KM) minggu hadapan bagi membincangkan kesan ekonomi yang melanda negara susulan konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau juga merancang memanggil pemimpin-pemimpin parti politik ke taklimat khas.

Beliau berkata, tempias dan kesan ekonomi yang diterima Malaysia akibat konflik itu adalah sesuatu yang nyata.

Kata beliau, kerajaan sudah mengambil beberapa langkah awal dan akan terus mengadakan mesyuarat melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Minggu depan insya-Allah, saya akan panggil semua Menteri Besar, Premier dan Ketua Menteri untuk maklumkan supaya penyertaan semua negeri, tidak kira sama ada kerajaan atau pun pembangkang.

“Dan saya sedang rencana untuk memanggil juga pemimpin-pemimpin semua parti supaya boleh berunding dan mendengar sendiri taklimat daripada MKN serta MTEN dan langkah-langkah yang perlu kita ambil bersama, supaya kita dapat tangani,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ke­tika ditemui selepas Solat Jumaat di Masjid Tengku Ampu­an Jemaah, Bukit Jelutong.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof.

Media sebelum ini melaporkan, Malaysia perlu menubuhkan Majlis Perundingan dan Intervensi Ekonomi Negara sebagai langkah non-partisan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik berterusan di Asia Barat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, maj­lis tersebut penting sebagai platform penyelarasan dasar secara menyeluruh dan inklusif bagi menangani impak kenaikan harga tenaga, gangguan rantaian bekalan serta tekanan terhadap ekonomi global.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kesan konflik Asia Barat yang sedang dihadapi oleh Malaysia tidak serumit yang dihadapi oleh keba­nyakan negara jiran.

“Belum ada catuan, belum ada kenaikan mendadak RON95 seumpamanya, kemudian minyak masih dapat dijamin sehingga Mei. Jadi kita sedang pantau setiap hari,” katanya.

Anwar berkata, beliau berterima kasih kepada Presiden Iran, Masoud Pezeshkian kerana memberikan laluan kepada kapal tangki minyak Malaysia melintasi Selat Hormuz.

“Saya ambil kesempatan ini untuk ucap terima kasih kepada Presiden Iran kerana dalam perbincangan saya semalam, dia telah mengarahkan supaya langkah-langkah diambil segera, melepaskan kapal-kapal minyak Petronas dan syarikat Malaysia melepasi teluk Hormuz,” katanya.

Mengulas gesaan pembangkang supaya kerajaan memang­gil sidang khas Parlimen, beliau berkata, perbincangan dengan pemimpin negeri dan parti politik akan diadakan dahulu pada minggu hadapan.

“Sidang khas Parlimen itu biar ada perencanaan, apa rancangan kita untuk mengatasi dan kemudian bila ada, kita boleh bincang secara konkrit,” katanya.

Sementara itu, mengenai bekalan minyak hingga Mei ini, katanya, setakat ini bekalan menunjukkan hingga ke bulan tersebut.

“Tetapi kita juga mencari jalan lain, kerana kebaikan (dan) keistimewaan Petronas ini kera­na pelaburan itu pelbagai. Bukan sahaja di negara teluk tetapi Brazil, (Republik) Suriname dan Kanada. Jadi kita cari jalan supaya dapat pula­ngan dan juga hasil di sini, meme­nuhi keperluan tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×