JAKARTA: Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin memaklumkan pihaknya belum dapat memastikan batuk yang dialami Presiden, Joko Widodo (Jokowi) disebabkan oleh udara kotor di Jakarta.
Budi Gunadi mengesahkan Jokowi mengalami batuk namun katanya, belum ada pemeriksaan lanjut yang dilakukan untuk mengetahui penyebabnya.
Dalam pada itu, Budi Gunadi turut mendedahkan arahan Jokowi berhubung pengendalian dalam sektor kesihatan berikutan kualiti udara yang kurang baik di Jakarta.
Beliau berkata, Jokowi sudah meminta Kementerian Kesihatan membuat pemeriksaan awal tahap kesihatan rakyat menggunakan kit ujian fungsi paru-paru di setiap pusat kesihatan di kawasan yang mencatatkan pencemaran tinggi.
Jelasnya, sektor hiliran lain turut diperkasa termasuk kesediaan kemudahan perkhidmatan di semua hospital untuk merawat pesakit yang mengalami masalah pernafasan.
“Keadaan itu kita pantau dan semua laporan berkaitan kesan udara kotor terhadap kesihatan awam dihantar kepada kementerian atau institusi berkaitan sebagai bahan penilaian untuk tindakan selanjutnya,” katanya dipetik CNN Indonesia.
Sebelum ini Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Sandiaga Uno berkata, Jokowi terkena kesan daripada kualiti udara yang buruk dan tidak sihat di Jabodetabek.
Selepas mesyuarat mengenai pencemaran udara di Istana Presiden di Jakarta Isnin lalu, Sandiaga mendakwa Jokowi mengalami masalah batuk sejak empat minggu lalu.
“Jokowi minta dalam masa seminggu ada langkah konkrit sebabnya beliau sendiri batuk sudah hampir empat minggu dan mengakui tidak pernah merasa sebegitu,” katanya.