JAKARTA: Indonesia merancang untuk membeli 24 unit helikopter Sikorsky S-70 M Black Hawk yang dikeluarkan oleh Lockheed Martin dari Amerika Syarikat untuk kegunaan Tentera Nasional Indonesia (TNI).
Rancangan itu dibuat selepas Pengarah Utama PT Dirgantara Indonesia, Gita Amperiawan dan Timbalan Presiden Global Business Development Sikorsky Lockheed Martin, Jeff White menandatangani perjanjian pendahuluan (HOA) di Washington, kelmarin.
Tanda tangan perjanjian itu turut disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto.
“Persetujuan ini secara tidak langsung menunjukkan komitmen kami bersama PT Dirgantara untuk menyediakan helikopter S-70 M Black Hawk bagi meningkatkan sistem pertahanan Indonesia.
“Helikopter itu dihasilkan dengan standard ketenteraan paling canggih.
“Helikopter itu juga berupaya menghantar bekalan dan anggota tentera dengan segera, sesuai dengan demografi Indonesia ,” kata presiden Sikorsky Lockheed Martin, Paul Lemmo menerusi kenyataan.
Selain itu, Sikorsky juga akan menyokong dan memberi peluang kepada PT Dirgantara untuk melakukan pemasangan sistem utama, pemeriksaan dan ujian penerbangan darat serta pengeluaran, pengubahsuaian dan peningkatan sistem.
Sementara itu, Gita memaklumkan kerjasama itu membolehkan syarikat tersebut membangunkan perniagaan pembekalan komponen pesawat.
“Dirgantara sentiasa bersedia mengembangkan sektor perniagaan dengan kerjasama dengan pelbagai pihak,” ujarnya.