BOGOR: Kedua-dua ibu yang tertukar bayi di sebuah hospital di Bogor bersetuju mengembalikan anak masing-masing dalam tempoh sebulan lagi.
Ibu kepada dua bayi yang tertukar itu berpisah dengan anak lelaki mereka selepas bersalin di Hospital Sentosa di Kemang, Jawa Barat pada 18 Julai tahun lalu.
Lapor Kompas.com, detik mengharukan dirakam media apabila Siti Maulia dan wanita yang hanya dikenali sebagai DP berpelukan erat sambil menangis selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diumumkan.
Bapa kepada anak-anak itu turut memeluk satu sama lain tanpa sebarang kata namun linangan air mata dua ibu itu tidak henti mengalir sejak awal mereka dipertemukan di bilik Unit Siasatan Jenayah Polis Bogor.
Media turut melaporkan kedua-dua bayi lelaki berkenaan kemudian dipertemukan dengan ibu bapa kandung mereka di bilik Ketua Polis, Bogor AKBP Rio Wahyu Anggoro sambil ditemani peguam keluarga masing-masing.
Menurut Rio Wahyu, hasil perbincangan bersama peguam dan polis, Siti Maulia dan DP bersetuju untuk menjaga anak satu sama lain selama sebulan lagi sebelum dipulangkan kepangkuan keluarga kandung masing-masing.
Menurutnya, proses pemulangan dua bayi kepada ibu masing-masing akan dijalankan secara berperingkat dengan bantuan polis bagi memastikan proses penerimaan dua kanak-kanak itu berjalan lebih lancar.
“Dalam tempoh sebulan ini kita sudah bersepakat menyediakan jadual dan garis masa agar proses menjalin ikatan antara orang tua dengan si anak kandung terjalin antara satu sama lain,” katanya.