JAKARTA: Pemangku Gabenor Jakarta, Heru Budi Hartono menambah 800 titik kawasan lapangan hijau (RTH) bagi mengatasi isu pencemaran udara yang semakin buruk di bandar itu.
Heru Budi berkata, pihaknya secara konsisten menggiatkan usaha menghijaukan Jakarta dan kerajaan wilayah sudah menanam 25,000 pokok setinggi tiga meter seperti ketapang, cendana serta tecoma di seluruh bandar itu.
“Pada fasa pertama terdapat 256 titik RTH di setiap kampung, kemudian diteruskan kepada 800 lokasi baharu,” kata Heru Budi selepas merasmikan aktiviti penanaman pokok di bawah Tol Becakayu di Jakarta Timur.
Jelasnya, kerajaan wilayah turut bekerjasama dengan pihak swasta untuk menanam lebih 1,000 pokok Ketapang yang diketahui berkesan menyerap bahan pencemaran udara di sepanjang 4.2 kilometer di bawah Tol Becakayu.
“Kami menghargai usaha pihak swasta termasuk syarikat perbankan Maybank dan syarikat perlombongan, Antam yang sudi bekerjasama dengan kerajaan dalam membantu mencegah impak buruk pencemaran serta meningkatkan kualiti udara.
“Sebelum ini, kawasan di bawah Tol Becakayu sudah kita penuhi dengan tanaman produktif seperti bayam, kangkung, cili dan sawi,” katanya dipetik CNN Indonesia.
Beliau berkata, kehijauan setiap tiga meter di kawasan berkenaan dikesan mampu menurunkan suhu sehingga dua darjah Celsius dan bertindak sebagai jaminan makanan yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk setempat.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pihak yang berkepentingan termasuk penduduk di Jakarta untuk bekerjasama menyertai kempen penanaman pokok bagi menggerakkan usaha memperbaiki kualiti udara di bandar berkenaan.