JAKARTA: Mahkamah Agung Indonesia mempertimbangkan jasa bekas Ketua Bahagian Profesional dan Keselamatan Polis Negara, Ferdy Sambo ketika membuat keputusan meringankan hukuman mati yang dikenakan ke atasnya.
Berdasarkan kenyataan lengkap berkaitan kes itu, mahkamah meringankan hukuman mati kepada penjara seumur hidup berdasarkan Pasal 8 apabila hakim juga harus memperhatikan sifat baik dan buruk suspek.
Semasa berkhidmat sebagai anggota polis Indonesia sehingga jawatan terakhirnya, Ferdy dianggap banyak menyumbang tenaga kepada negara.
Ferdy juga berjasa menjaga ketenteraman dan keselamatan serta menguatkuasakan undang-undang di negara itu sepanjang perkhidmatannya selama lebih 30 tahun
Ferdy juga disifatkan sudah mengakui dengan jelas kesalahannya dan bersedia untuk bertanggungjawab terhadap tindakannya, selari dengan objektif hukuman bagi memupuk rasa insaf terhadap pelaku jenayah tersebut.
“Melalui semua pertimbangan berkaitan dan demi prinsip kepastian undang-undang yang adil dan saksama, hukuman mati yang sudah dijatuhkan ke atas defendan perlu dipinda dengan hukuman penjara seumur hidup,” jelas hakim dalam kenyataan berkenaan.
Ferdy menjadi suspek utama dalam kes pembunuhan pengawal peribadinya yang juga anggota polis berpangkat sarjan, Nofriansyah Yoshua Hutabarat.
Selain beliau, isterinya, Putri Candrawathi serta Richard Eliezer atau Bharada E, Ricky Rizal dan Kuat Ma’ruf turut dinamakan sebagai suspek selepas Nofriansyah dilaporkan maut akibat ditembak di rumah Ferdy di Duren Tiga, Jakarta Selatan pada 8 Julai tahun lalu.-AGENSI