FLORES TIMUR: Seorang guru mengaku salah kerana menghukum seorang pelajarnya dengan mencelupkan tangannya ke dalam air panas.
Kejadian itu berlaku di sebuah sekolah asrama di Larantuka, Flores Timur, Nusa Tenggara Timur.
Guru tersebut yang dikenali sebagai NO berkata, hukuman itu pada mulanya bertujuan ‘membimbing’ pelajar itu yang didakwa mempunyai masalah disiplin.
Hal ini kerana, ramai ibu bapa pelajar membuat aduan mengenai pelajar berkenaan yang sering mengganggu rakan-rakannya di asrama.
“Pada mulanya, saya memanggil pelajar itu untuk bertanyakan tentang aduan ibu bapa pelajar lain yang memaklumkan almari anak mereka dibongkar sehingga menyebabkan beberapa barangan hilang.
“Pelajar itu tidak mengakui apa-apa dan untuk menguji jika dia bercakap benar atau tidak, saya ugut dia untuk celupkan tangan ke dalam air panas.
“Saya cuba berikan hukuman lain, namun masih ramai pelajar tidak mendengar kata dan melakukan kesalahan,” katanya.
Guru itu juga memaklumkan, dia tidak menyangka tangan pelajar tersebut bengkak dan melecur selepas dicelup ke dalam air panas.
“Saya memohon maaf berhubung insiden yang berlaku. Saya akui tindakan saya dalam mendisiplinkan pelajar sangat keterlaluan.
“Saya sedar, cara itu masih tidak menjadikan pelajar saya seorang yang baik, malah mungkin lagi memberontak dan menjadi pendendam.
“Saya juga bersedia menerima tindakan undang-undang,” ujarnya.
Terdahulu, ibu bapa pelajar tersebut membuat laporan polis selepas tangan anak mereka cedera akibat dicelup dalam air panas oleh suspek.