NEW YORK: Hartawan Elon Musk dilaporkan melelong tanda bangunan Twitter dan beberapa barangan lain daripada syarikat itu beberapa minggu selepas melakukan penjenamaan semula firma itu sebagai X.
Memetik BBC, antara 584 barangan ditawarkan ialah meja kopi, sangkar burung serta lukisan minyak imej yang tular.
Lelongan itu digelar sebagai ‘Penjenamaan Semula Twitter: Lelongan Dalam Talian Menampilkan Memorabilia, Seni, Aset Pejabat & Banyak Lagi!’.
Dalam acara lelongan itu, satu daripada tanda Twitter yang masih dipasang di ibu pejabat syarikat di 10th Street di San Francisco turut dilelong.
“Burung Twitter masih dipasang di sisi bangunan. Pembeli bertanggungjawab untuk mengupah Syarikat Berlesen SF dengan permit yang sesuai,” tulis syarikat itu dalam satu kenyataan.
Bulan lalu, percubaan untuk mengalih tanda Twitter telah dihentikan buat sementara waktu oleh pihak berkuasa di San Francisco.
Turut disenaraikan dalam barangan lelong ialah puluhan meja dan kerusi, gerai DJ dan peralatan muzik.