DUBAI: Seekor beruang terlepas dari sangkarnya yang dimuatkan dalam sebuah pesawat kargo Iraq sebelum ia berlepas dari lapangan terbang antarabangsa Dubai.
Insiden itu menyebabkan kelewatan penerbangan sehingga para penumpang tidak berpuas hati, selain mencetuskan `kekecohan’ di laman media sosial.
Sehubungan itu, Perdana Menteri Iraq mengarahkan satu siasatan dijalankan bagi mengetahui bagaimana haiwan itu terlepas dari sangkar pesawat kargo tersebut.
Lapor The Guardian, syarikat Iraqi Airways menegaskan pihaknya tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya atas kejadian itu.
Jelas syarikat itu, kru pesawat bekerjasama dengan pihak berkuasa Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menghantar pasukan pakar untuk menyuntik ubat penenang dan mengeluarkan haiwan itu daripada kapal terbang tersebut.
Satu rakaman video yang tular dalam media sosial menunjukkan kapten pesawat memohon maaf kepada penumpang atas kelewatan penerbangan disebabkan beruang itu terlepas dari sangkarnya di tempat simpanan kargo.
Menurut Iraqi Airways, prosedur untuk memindahkan beruang itu dilaksanakan mengikut peraturan ditetapkan.
Malah, katanya, proses itu dilakukan berdasarkan prosedur dan piawaian yang diluluskan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Syarikat penerbangan itu memaklumkan beruang itu dalam penerbangan dari Baghdad ke Dubai.
Setakat ini, pihak pengurusan lapangan terbang antarabangsa Dubai masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.
Sementara itu, seorang pegawai Iraqi Airways mengesahkan bahawa beruang itu sebenarnya dalam perjalanan ke ibu negara Iraq.
Bagaimanapun, pegawai itu enggan mendedahkan nama pemilik haiwan tersebut.