Tiga nama layak bertanding rebut jawatan Presiden Singapura - Utusan Malaysia

Tiga nama layak bertanding rebut jawatan Presiden Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Jabatan Pilihan Raya (ELD) hari ini mengumumkan tiga nama yang layak menjadi calon bertanding pada Pilihan Raya Presiden Singapura yang dijadualkan berlangsung pada 1 September depan.

Mereka adalah bekas Menteri Kanan Singapura, Tharman Shanmugaratnam, 66; bekas Ketua Eksekutif NTUC Income, Tan Kin Lian, 75; dan bekas Ketua Pegawai Pelaburan GIC, Ng Kok Song, 75.

Ahli perniagaan, George Goh pula gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan Sijil Kelayakan sebagai calon, meskipun namanya tidak disebut dalam kenyataan ELD itu.

Menurut ELD, Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden (PEC) menerima sejumlah enam permohonan untuk mendapatkan Sijil Kelayakan itu menjelang tarikh akhir semalam.

Jabatan itu memaklumkan bahawa Kok Song mengemukakan permohonan bawah laluan deliberasi sektor awam, Kin Lian (laluan deliberasi sektor swasta), manakala Tharman pula laluan perkhidmatan sektor awam.

“PEC yang dibarisi enam anggota termasuk dua hakim Mahkamah Agung, dengan diketuai oleh Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Lee Tzu Yang, berpuas hati bahawa Ng (Kok Song), Tan (Kin Lian) dan Tharman memiliki integriti, reputasi serta karakter yang baik,” kata ELD sebagaimana dilaporkan Channel News Asia (CNA).

Selain itu, jawatankuasa berkenaan juga berpuas hati bahawa Kok Song dan Kin Lian mempunyai ‘pengalaman serta keupayaan untuk melaksanakan fungsi dan tugas jawatan Presiden secara berkesan.’

Dalam kenyataan itu, ELD turut memperincikan lebih lanjut mengenai bagaimana setiap calon terbabit memenuhi kriteria kelayakan ditetapkan.

Tharman sebelum ini memegang jawatan Menteri Kanan Singapura selama tiga tahun, selain berpengalaman sebagai Menteri Pendidikan dan Kewangan, serta merupakan Timbalan Perdana Menteri dari 2011 hingga 2019.

Kin Lian pula merupakan Ketua Eksekutif NTUC Income selama 30 tahun, dan ini adalah kali kedua beliau merebut jawatan Presiden Singapura selepas cubaannya pada 2011 tidak berjaya sehingga kehilangan deposit S$48,000 ketika itu.

Kok Song berpengalaman bertugas dalam perkhidmatan awam selama 45 tahun sebelum memegang jawatan Ketua Pegawai Pelaburan GIC sebelum ini.

Selepas ini, ketiga-tiga mereka perlu dinamakan sebagai calon untuk bertanding. Tharman, Kin Lian dan Kok Song mesti menyerahkan kertas pencalonan mereka bersama-sama Sijil Kelayakan, Sijil Komuniti dan Sijil Derma Politik pada hari penamaan calon, 22 Ogos ini. Setiap calon juga mesti membayar deposit S$40,500 (RM138,486) sebelum hari penamaan calon.

Kali terakhir pertandingan Pilihan Raya Presiden diadakan pada Ogos 2011 yang menyaksikan empat calon bersaing merebut jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, tiada pertandingan bagi Pilihan Raya Presiden seterusnya pada 2017 yang dikhususkan untuk calon Melayu.

Sebelum ini, Presiden Halimah Yacob yang penggalnya akan berakhir pada 13 September depan, mengumumkan beliau tidak akan bertanding untuk mempertahankan jawatan itu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya