Trump didakwa lagi kes salah kendali dokumen sulit - Utusan Malaysia

Trump didakwa lagi kes salah kendali dokumen sulit

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam berdepan pertuduhan baharu bahawa beliau cuba menghalang siasatan kes salah kendali dokumen sulit utama, dengan berkomplot untuk memadamkan rakaman pengawasan di kawasan hartanah miliknya Mar-a-Lago di Florida.

Pendakwa Raya Persekutuan membuka kertas pertuduhan baharu menyasarkan Trump yang juga calon mendahului dalam pemilihan Presiden Republikan 2024, dan dijangka menjalani perbicaraan ketika bahang pilihan raya semakin hangat pada Mei tahun depan.

Pertuduhan baharu itu menyusul pada hari sama Trump memaklumkan bahawa peguamnya bertemu pegawai Jabatan Kehakiman menjelang satu pendakwaan berasingan dijangkakan berkait usahanya untuk membatalkan keputusan pilihan raya 2020.

Bekas Presiden berkenaan kali pertama didakwa dalam kes dokumen sulit itu, bulan lalu, dengan dituduh membahayakan keselamatan negara dengan menyimpan maklumat rahsia berhubung nuklear dan pertahanan selepas meninggalkan White House.

Menurut pertuduhan, Trump didakwa menyimpan fail terbabit yang merangkumi rekod dari Pentagon, Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Agensi Keselamatan Negara, secara tidak selamat di kediamannya di Mar-a-Lago serta menggagalkan usaha pegawai untuk mendapatkannya.

Mengikut pertuduhan semalam pula, beliau didakwa berkomplot dengan defendan bersama dalam kes itu, pembantu peribadi Waltine ‘Walt’ Nauta, serta defendan baharu, pengurus hartanah Carlos de Oliveira, untuk memadamkan rakaman kamera keselamatan di Mar-a-Lago.

Pertuduhan baharu itu berkait perbualan antara de Oliveira dengan pekerja keempat yang tidak dinamakan, di mana de Oliveira didakwa berkata ‘bos’ mahu peralatan pelayan berkenaan dipadamkan.

Ia turut menambah pertuduhan mengikut Akta Pengintipan berkait tindakan Trump didakwa menyimpan dokumen sulit membabitkan ‘aktiviti ketenteraan di negara asing.’

Selain itu, Trump juga menghadapi beberapa pertuduhan sedia ada, termasuk didakwa ‘sengaja menyimpan maklumat pertahanan negara’, konspirasi menghalang keadilan, membuat kenyataan palsu serta kesalahan lain di mana beliau mengaku tidak bersalah pada bulan lalu.

Trump dalam wawancara dengan Fox News Digital, malam tadi, bagaimanapun menolak pertuduhan baharu itu sebagai ‘mengarut’.

“Ia adalah campur tangan pilihan raya pada peringkat tertinggi,” dakwanya dengan menuduh Presiden Joe Biden dan Jabatan Kehakiman berhubung ‘salah laku pendakwaan.’ – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN