WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyatakan Israel dan Arab Saudi masih terlalu jauh daripada usaha persefahaman normalisasi yang akan melibatkan perjanjian pertahanan dan program nuklear awam dari AS.
Beliau berkata, pegawai AS sudah berunding dalam memeterai perjanjian normalisasi berkenaan namun usaha tersebut sememangnya sukar dicapai antara kedua-dua negara itu yang jelas tidak sehaluan.
“Kami masih belum mencapai apa-apa kemajuan. Masih banyak perkara yang perlu dibincangkan,” kata Biden dalam temu bual dengan wartawan CNN, Fareed Zakaria.
Menteri tenaga Israel menyatakan tentangan terhadap idea Arab Saudi bulan lalu untuk membangunkan program nuklear awam sebagai sebahagian pengantaraan AS dalam menjalin hubungan antara negara-negara itu.
Biden merujuk kepada keputusan Arab Saudi dalam rangka lawatannya ke negara itu musim panas lalu untuk membuka ruang udaranya kepada semua syarikat penerbangan, sekali gus membuka jalan bagi lebih banyak penerbangan menuju Israel atau yang bergerak dari negara itu.
Biden turut menyatakan usaha ke arah gencatan senjata kekal di Yaman berikutan konflik yang membunuh puluhan ribu orang dan secara meluas dilihat sebagai perang proksi antara Arab Saudi dan Iran.
“Jadi, kami membuat kemajuan di rantau ini. Dan ia bergantung kepada kelakuan dan apa yang diminta daripada kami untuk mereka mengiktiraf Israel.
“Sejujurnya, saya tidak fikir mereka mempunyai banyak masalah dengan Israel. Sama ada kami mampu atau tidak menyediakan platform kuasa nuklear awam dan menjadi penjamin keselamatan mereka, perkara itu saya fikir masih terlalu jauh untuk dicapai,” katanya.
Israel menjangkakan akan menerima panggilan Washington mengenai perjanjian AS dan Arab Saudi yang menjejaskan keselamatan negaranya.
Israel yang berada di luar Perjanjian Bukan-Proliferasi (NPT) dan tidak mempunyai tenaga nuklear dipercayai secara meluas mempunyai senjata atom.
Israel didakwa bimbang negara jiran lain boleh menggunakan tenaga nuklear awam dan projek yang dibangunkan di bawah NPT 1970 sebagai perlindungan untuk pembuatan bom rahsia.
Kemarahan terhadap Israel semakin memuncak di dunia Arab minggu lalu berikutan operasi ketenteraan terbesarnya di Tebing Barat apabila rejim zionis menyerbu kem pelarian Jenin di Palestin.
Arab Saudi menyertai negara-negara Liga Arab lain mengutuk serbuan itu yang membunuh 12 rakyat Palestin.
Malah, sebelum keganasan berlaku, Riyadh menegaskan normalisasi tidak mungkin dilakukan sehingga matlamat kenegaraan Palestin ditangani. – REUTERS