Suu Kyi tidak lagi ditahan di penjara

Suu Kyi tidak lagi ditahan di penjara

PENUNJUK perasaan memegang potret Aung San Suu Kyi ketika menyertai protes membantah kekerasan tentera di luar Kedutaan Myanmar di Bangkok pada Februari lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Pemimpin demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi yang digulingkan pada 2021 dalam rampasan kuasa oleh tentera dilaporkan dipindahkan dari penjara ke sebuah bangunan kerajaan.

Sejak ditahan pada 1 Februari 2021, imej Suu Kyi pernah didedahkan sekali sahaja ketika beliau menghadiri sesi perbicaraan di mahkamah.

Rampasan kuasa yang berlaku di Myanmar itu menyaksikan lebih sejuta penduduknya hilang tempat tinggal, selain ribuan dilaporkan terbunuh.

“Suu Kyi sudah dipindahkan ke sebuah bangunan yang mempunyai kawalan ketat pada Isnin lalu,” menurut sumber dari Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD).

Parti itu juga mengesahkan Suu Kyi sudah pun mengadakan pertemuan dengan Speaker Parlimen, Ti Khun Myat dan dijangka bertemu dengan Wakil Khas China bagi Hal Ehwal Asia, Deng Xijuan yang akan mengunjungi negara ini.

Sumber lain pula memaklumkan pemimpin politik itu sudah dipindahkan ke bangunan VIP di Naypyidaw.

Dalam bulan ini, Menteri Luar Thailand memaklumkan beliau bertemu dengan Suu Kyi, iaitu pertemuan pertama pemimpin wanita itu bersama delegasi asing sejak ditahan.

Namun, jurucakap junta tidak mendedahkan butiran pertemuan itu.

Dalam pada itu, pelbagai pihak menzahirkan kebimbangan mengenai tahap kesihatan Suu Kyi, 78, sejak beliau ditahan, termasuk perlu menghadiri perbicaraan hampir setiap hari.

Suu Kyi dikenakan hukuman penjara selama 33 tahun untuk pelbagai kesalahan termasuk rasuah, menyeludup alat komunikasi dan melanggar sekatan Covid-19.

Pada Jun tahun lalu, selepas lebih setahun dikenakan tahanan rumah di Naypyidaw, Suu Kyi dipindahkan ke penjara.

Ketika di penjara, beliau tidak dibenarkan mempunyai ‘pembantu’ dan dibiarkan berseorangan.

Sejak rampasan kuasa berlaku, lebih 3,800 orang terbunuh akibat tindakan kekerasan tentera.

Kebanyakannya menentang pentadbiran junta dan memperjuangkan agenda demokrasi yang dibawa Suu Kyi dan kerajaannya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN