PHNOM PENH: Parti Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Perdana Menteri Samdech Techo Hun Sen, mendakwa mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya umum semalam, lapor agensi berita Xinhua memetik jurucakap parti.
Walaupun keputusan rasmi belum diumumkan, jurucakap CPP Sok Eysan mengesahkan keputusan itu pada Ahad.
“Kami menang besar dalam pilihan raya ini, tetapi kami belum mengira jumlah kerusi yang kami peroleh.
“Ini benar-benar mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan CPP,” katanya kepada Xinhua.
Proses pengiraan kertas undi masih dijalankan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Kebangsaan (NEC) dan keputusan rasmi dijangka dikeluarkan pada 9 Ogos ini.
Pilihan raya pada semalam itu adalah yang ketujuh bagi negara itu sejak 1993 dan pada 2018, CPP memenangi semua 125 kerusi yang dipertandingkan.
CPP memerintah negara Asia Tenggara itu sejak 1979.










