Perkasa peraturan bertudung, Iran kembalikan peranan polis moral

Perkasa peraturan bertudung, Iran kembalikan peranan polis moral

SEORANG wanita memegang potret Mahsa Amini yang meninggal dunia dalam tahanan polis moral Iran dalam protes di Hasakeh, Syria pada September tahun lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran melancarkan semula rondaan oleh polis moral ketika pihak berkuasa meningkatkan usaha untuk menguatkuasakan peraturan hijab di negara itu.

Perkara itu disahkan oleh jurucakap pasukan penguatkuasa undang-undang Iran,Saeid Montazeralmahdi dalam satu kenyataan kelmarin.

POLIS MORAL KEMBALI

Menurut beliau, polis akan meneruskan rondaan di sekitar negara itu dengan berjalan kaki atau menggunakan kenderaan bagi membanteras individu yang enggan mematuhi kod berpakaian di republik itu.

Jelasnya, para pegawai akan ditugaskan memberi amaran kepada wanita mahu pun lelaki untuk membetulkan cara mereka berpakaian.

Amaran itu melibatkan arahan kepada golongan wanita untuk mengenakan hijab dengan betul supaya menutup keseluruhan rambut atau menuntut mereka menukar pakaian kepada sesuatu yang lebih longgar dan lebih sopan.

Wanita yang dianggap melanggar peraturan boleh ditangkap dan dibawa ke lokasi yang dipanggil kemudahan pendidikan semula yang dikendalikan oleh polis.

Saeid berkata, polis mengharapkan semua penduduk memahami dan mematuhi kod pakaian yang dikenakan supaya pegawai mempunyai lebih banyak masa untuk menangani misi penting lain.

Penguatkuasaan semula itu dilakukan 10 bulan selepas insiden kematian Mahsa Amini, 22, dalam tahanan polis atas dakwaan pelanggaran kod pakaian.

Kematiannya mencetuskan protes besar-besaran di seluruh negara yang berlangsung selama berbulan-bulan namun polis moral sebahagian besarnya dilaporkan tidak kelihatan di jalan-jalan sekitar Iran ketika itu.

UBAH PENDEKATAN

Selepas protes berkenaan, pihak berkuasa Iran mula mengubah pendekatan yang sangat kontroversi itu dan beransur-ansur mengubah cara untuk menguatkuasakan undang-undang hijab mandatori yang dikenakan sejurus selepas revolusi Islam 1979 di negara itu.

Sejak beberapa bulan lalu, polis dilaporkan mula menggunakan kamera pengawasan untuk mengenal pasti wanita yang melanggar kod pemakaian hijab sebelum memberi amaran, denda atau mengeluarkan perintah meminta mereka untuk hadir ke mahkamah.

Penumpang yang didapati melanggar etika berpakaian semasa berada di dalam kenderaan mereka juga akan diberi amaran dan pengangkutan itu juga boleh disita.

Perniagaan seperti kafe, restoran dan juga pusat membeli-belah yang luas turut berdepan arahan penutupan kerana menawarkan perkhidmatan kepada wanita yang tidak bertudung dengan sempurna.

Awal minggu ini terdapat beberapa insiden berprofil tinggi yang kembali tercetus berkaitan pemakaian hijab di negara itu.

Antaranya melibatkan pelakon, Azadeh Samadi yang dijatuhi hukuman larangan enam bulan menggunakan media sosial dan telefon bimbitnya sebagai tambahan kepada arahan menjalani terapi untuk menyembuhkannya daripada penyakit personaliti anti-sosial.

Beliau diarahkan berbuat demikian oleh mahkamah selepas didapati mengambil bahagian dalam pengebumian seorang pengarah teater tanpa bertudung pada bulan Mei lalu.

Samadi dilaporkan menyertai kumpulan pelakon wanita yang disaman atau menerima hukuman sejak beberapa bulan kebelakangan ini kerana menanggalkan tudung mereka secara terbuka atau dalam talian.

Pihak berkuasa dilihat turut mengeluarkan video amaran menunjukkan sekumpulan pegawai polis diiringi oleh kru kamera bergerak di sekitar bandar dan memberitahu wanita dari semua peringkat umur untuk membetulkan hijab mereka atau dirujuk kepada badan kehakiman.

“Sama ada anda membetulkan tudung anda atau anda memasuki van. Jika anda percaya kepada kebebasan, saya akan membiarkan semua pencuri dan perogol bebas untuk memberitahu anda bagaimana keadaan ini berfungsi,” kata suara di dalam video itu.

Sementara itu, kerajaan dan parlimen sedang mengusahakan undang-undang baharu yang bertujuan untuk mengukuhkan kawalan terhadap pemakaian hijab, tetapi rang undang-undang itu mendapat kecaman daripada penentang konservatif yang berpendapat ia terlalu ringan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya