BEIJING: Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Janet Yellen menyifatkan pertemuan dua hala dengan pegawai kanan China yang berlangsung selama 10 jam adalah `langsung dan produktif’.
Malah, pemimpin itu menegaskan mesyuarat dua hala itu turut membantu menstabilkan hubungan kedua-dua negara yang sering tegang.
Yellen dalam satu sidang akhbar mengakui masih terdapat perselisihan faham antara AS dan China dalam beberapa perkara.
Namun, beliau yakin lawatannya ke Beijing berjaya meningkatkan usaha Washington untuk `meletakkan hubungan AS-China pada landasan lebih kukuh’.
Yellen turut mengulangi kebimbangan Washington berhubung `amalan ekonomi tidak adil’ dan tindakan punitif baru-baru ini terhadap firma AS.
“AS dan China mempunyai percanggahan pendapat yang ketara, namun Presiden Joe Biden dan saya tidak melihat hubungan kedua-dua negara itu melalui bingkai konflik kuasa besar.
“Kami percaya dunia ini cukup besar untuk kedua-dua negara berkembang maju,” katanya kepada pemberita di kedutaan AS di Beijing.
Yellen mengadakan lawatan kerja ke Beijing selama empat hari.
Lawatan itu dilihat sebagai cubaan terbaharu Washington untuk membaiki hubungan antara dua ekonomi terbesar dunia yang dilanda pelbagai isu sehingga menarik sekutu ke dalam persaingan negara itu, serta memberi impak terhadap syarikat dan hubungan perdagangan.
Sebelum ini, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken turut mengadakan lawatan kerja ke China pada bulan lalu.
Sementara itu, Yellen memberitahu tujuan lawatannya ke China adalah untuk mewujudkan dan mengeratkan hubungan dengan pasukan ekonomi baharu republik tersebut.
Katanya, langkah itu bagi mengurangkan risiko salah faham selain membuka jalan untuk kerjasama dalam pelbagai bidang seperti perubahan iklim dan masalah hutang.
“Saya rasa kita sudah mencapai sedikit kemajuan dan mungkin boleh mempunyai hubungan ekonomi sihat yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara serta dunia,” katanya.
Tambahnya, beliau juga menjangkakan komunikasi yang lebih kerap di peringkat kakitangan.
Selain itu, Yellen memaklumkan pegawai China turut membangkitkan kebimbangan mengenai potensi perintah eksekutif yang dijangka menyekat pelaburan keluar.
“Bagaimanapun, saya memberi jaminan kepada mereka bahawa langkah demikian akan menjadi skop sempit dan akan dilakukan secara telus menerusi proses membuat peraturan yang membenarkan input dari orang awam,” katanya. – REUTERS