BAITULMUQADDIS: Lima rakyat Palestin terbunuh manakala 27 lagi cedera selepas tentera Israel melancarkan serangan udara dan peluru berpandu berskala besar ke atas kem pelarian Jenin di Tebing Barat yang diduduki.
Penduduk berkata, tentera Israel melancarkan sekurang-kurangnya 10 serangan udara di Jenin semalaman dengan asap berkepul-kepul dilihat dari serpihan bangunan.
Konvoi berpuluh-puluh kenderaan perisai Israel turut mengepung kem pelarian dari semua arah dan melancarkan operasi ketenteraan darat hingga menyebabkan kerosakan teruk kepada rumah dan jalan raya.
Kementerian kesihatan berkata, mangsa yang terbunuh ditembak di dada dan kepala manakala lapan daripada mereka yang cedera berada dalam keadaan kritikal.
Ketua Biro Baitulmudaqddis Al Jazeera, Walid al-Omari berkata, tentera Israel turut bertindak menutup semua pintu masuk ke Jenin menggunakan traktor.
“Kira-kira 150 kenderaan perisai dan kira-kira 1,000 anggota dari pasukan elit tentera serta perisikan am polis sempadan mengambil bahagian dalam operasi ini.
“Mereka menguatkuasakan kepungan menyeluruh ke atas kem dengan pasukan khas yang beroperasi di dalam kem bertindak menyerbu, menggeledah rumah dan menangkap ramai penduduk Palestin,” katanya.
Kementerian Luar Pihak Berkuasa Palestin mengutuk pencerobohan biadab yang menyasarkan orang awam itu dan menyeru campur tangan antarabangsa serta Amerika Syarikat (AS).
Kementerian itu turut mendesak Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk tidak terus berdiam diri dengan jenayah perang yang dilakukan Israel.