LOS ANGELES: Sekurang-kurangnya 160,000 penggiat filem termasuk selebriti turun padang menyertai mogok semalam, selepas rundingan antara wakil pelakon dengan penerbit gagal mencapai kata putus.
Tindakan itu menyaksikan industri Hollywood lumpuh buat pertama kali dalam tempoh 63 tahun.
Screen Actors Guild dan American Federation of Television and Radio Artists (SAG-AFTRA) mendakwa, penerbit-penerbit filem gagal memenuhi tuntutan mereka dengan tidak memberikan bayaran yang setanding dengan populariti dan sumbangan pelakon.
“Masa depan kami tidak jelas dan tidak mustahil akan digantikan dengan mesin dan perniagaan besar yang lain.
“Ini adalah masa untuk kami pertahankan hak dan kedudukan kami.
“Jika kami tidak pertahankan semua ini, sudah tentu kami akan dilanda kesusahan,” kata Presiden SAG-AFTRA, Fran Drescher.
Terdahulu, golongan penulis sudah pun melakukan protes selama 11 minggu di luar ibu pejabat Disney dan Netflix, selepas tuntutan mereka juga tidak dilayan.
Apabila penerbitan dan penggambaran filem terhenti, siaran popular televisyen juga berdepan dengan penangguhan.
Sejumlah studio filem juga sudah menyusun semula jadual dan jika mogok itu berlanjutan, tayangan filem-filem utama berkemungkinan akan ditangguhkan.
SAG-AFTRA mewakili ratusan ribu selebriti berkelas A seperti Meryl Streep, Jennifer Lawrence dan Glenn Close.
Kali terakhir para selebriti melakukan mogok di Hollywood adalah pada 1980 dan berlangsung selama tiga bulan.
Kali ini, kira-kira 98 peratus selebriti mengundi untuk mengambil tindakan industri sekiranya tuntutan mereka tidak dilayan.
“Sebenarnya, kamilah mangsa dalam keadaan ini. Kami menjadi mangsa pihak-pihak yang tamak.
“Kami berasa terkejut dengan layanan yang diberikan,” ujar Drescher.
SAG-AFTRA menjelaskan, bayaran yang diterima para selebriti semakin merosot berikutan kebanjiran ekosistem penstriman, selain memberi amaran penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) boleh ‘merampas peranan penggiat filem dalam industri’. – AFP