MANILA: Sebuah agensi pengiklanan Filipina memohon maaf kerana menggunakan rakaman dari negara lain dalam video mempromosikan negara kepulauan tersebut sebagai destinasi pelancongan.
Agensi pengiklanan DDB Philippines diberi tugas untuk menerbitkan klip video kempen pelancongan kerajaan bernilai AS$900,000 (RM4,200,750) yang dilancarkan pada 27 Jun lalu.
Bagaimanapun video dengan slogan ‘Love The Philippines’ itu didapati menggunakan imej teres padi di Indonesia, beting pasir di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan pesawat mendarat di Switzerland.
Perkara itu pertama kali didedahkan menerusi analisis oleh agensi berita Perancis AFP dan penulis blog Filipina, Sass Rogando Sasot.
DDB Philippines dalam satu kenyataan berkata, penggunaan stok gambar adalah standard dalam industri pengiklanan, tetapi pihaknya memohon maaf dan mengakui mengambil video yang tidak sesuai bagi kempen tersebut.
“Penggunaan stok rakaman asing dalam kempen mempromosikan Filipina adalah cara yang sangat tidak sesuai dan bercanggah dengan objektif Jabatan Pelancongan,” katanya.
Video itu dilaporkan sudah dipadamkan dari platform media sosial dan agensi berkenaan memaklumkan akan membantu Jabatan Pelancongan melakukan siasatannya.
Setiausaha pelancongan Filipina, Christina Garcia Frasco berkata, pihaknya sudah berulang kali mendapatkan pengesahan tentang keaslian bahan yang digunakan dalam video itu.
Jelasnya, tiada dana awam digunakan untuk membuat video berkenaan dan Jabatan Pelancongan akan memastikan agensi berkenaan bertanggungjawab dengan kesalahan mereka.