WASHINGTON: Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) mengesahkan fenomena iklim El Nino yang menyebabkan cuaca lebih panas sedang berlaku.
Malah, para pegawai memberi amaran persiapan menghadapi kejadian cuaca ekstrem adalah penting untuk menangani implikasi terhadap kesihatan penduduk dan mata pencarian.
Lapor The Guardian, fenomena El Nino baharu itu berlaku di samping peningkatan pemanasan global yang didorong oleh pelepasan karbon dioksida (CO2) disebabkan aktiviti manusia.
Situasi itu secara tidak langsung boleh menyebabkan cuaca panas melampau meskipun suhu tertinggi pernah direkodkan di daratan dan laut di seluruh dunia.
WMO menjangkakan terdapat 90 peratus peluang fenomena El Nino berterusan sehingga akhir tahun ini sama ada pada tahap sederhana atau lebih kuat.
“Permulaan El Nino bakal meningkatkan kemungkinan mencatat suhu tertinggi dengan ketara serta mencetuskan cuaca panas melampau di kebanyakan kawasan daratan dan lautan.
“Pengisytiharan itu dibuat sebagai isyarat kepada kerajaan seluruh dunia untuk menggerakkan persiapan yang diperlukan.
“Amaran awal dan langkah pencegahan bagi menghadapi kejadian cuaca ekstrem berkaitan fenomena iklim ini adalah penting untuk menyelamatkan nyawa,” kata Setiausaha Agung WMO, Petteri Taalas.
Suhu tertinggi pernah direkodkan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Sebelum ini, fenomena El Nino buruk direkodkan berlaku pada 2016 sehingga kekal sebagai tahun paling panas di dunia.
Bulan lalu, pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menjangkakan kebarangkalian 56 peratus El Nino yang kuat dan lebih panas berlaku pada hujung tahun.