NEW YORK: Empat orang terbunuh dan dua lagi cedera dalam satu kejadian tembakan di Philadelphia, Amerika Syarikat (AS).
Pesuruhjaya Polis Philadelphia, Danielle Outlaw mengesahkan seorang suspek berjaya ditahan.
Bagaimanapun, Outlaw berkata, suspek yang merupakan lelaki berusia 40 tahun, tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mangsa.
Katanya, suspek mempunyai jaket kalis peluru dan pengimbas polis ketika ditahan.
Menurut Outlaw, individu kedua turut ditahan berhubung insiden tembakan itu.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada individu tersebut mempunyai kaitan dengan penembak, namun polis percaya dia membalas tembakan ke arah penembak.
Dalam pada itu, Outlaw memaklumkan tiga senjata api termasuk senapang dan pistol milik suspek ditemukan di lokasi kejadian.
Tiga individu yang maut merupakan lelaki berumur antara 20 hingga 59 tahun.
“Lelaki keempat maut dipercayai berusia antara 16 hingga 21 tahun.
“Dua kanak-kanak yang cedera berusia dua dan 13 tahun. Mereka kini berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Dilaporkan, insiden tembakan meletus di bahagian Kingsessing, barat daya Philadelphia kira-kira 1.5 kilometer (km) dari Sungai Schuykill yang mengalir melalui bandar paling ramai penduduk di Pennsylvania.
Rakaman video dari tempat kejadian tembakan menunjukkan beberapa kereta polis diparkir berhampiran persimpangan dengan bahagian jalan ditutup dengan pita kuning merah.
Insiden itu berlaku sehari selepas kejadian tembakan di sebuah kawasan kejiranan di Baltimore, Maryland yang mengakibatkan dua maut dan 28 lagi cedera. – REUTERS