NEW YORK: Minggu ini menyaksikan suhu global paling panas pernah direkodkan, berdasarkan data daripada dua agensi penjejakan iklim.
Pada Isnin lalu, purata suhu global mencecah 17.01 darjah Celsius, yang merupakan nilai tertinggi pernah direkodkan dalam data Pusat Ramalan Alam Sekitar Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) sejak tahun 1979.
REKOD BAHARU MENANTI
Pada hari Selasa, suhu dilaporkan terus meningkat mencecah 17.18 darjah Celsius, mengatasi rekod tertinggi 16.92 darjah Celsius yang dicatatkan pada Ogos 2016.
Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah (EU) kelmarin juga memuat naik ciapan bahawa suhu global hari Isnin adalah rekod tertinggi dalam set datanya.
Pakar memberi amaran rekod suhu itu mungkin akan dipecahkan beberapa kali lagi sepanjang tahun ini.
Ketua Saintis Berkeley Earth, Robert Rohde dalam catatan di Twitter pada hari Selasa berkata, dunia mungkin berdepan beberapa hari yang lebih panas dalam tempoh enam minggu akan datang.
Pensyarah Kanan Sains Iklim Institut Grantham untuk Perubahan Iklim dan Alam Sekitar United Kingdom (UK), Friederike Otto berkata, rekod global itu bukan sahaja petanda awal, tetapi juga merupakan satu lagi petunjuk tentang betapa cepatnya dunia menjadi semakin ‘bahang’.
Jelasnya, kedatangan fenomena iklim semula jadi El Nino turut menambahkan lagi kesan ke atas pemanasan global yang didorong oleh perubahan iklim.
“Ia bukan rekod untuk diraikan dan ia tidak akan bertahan untuk masa yang lama dengan musim panas hemisfera utara masih belum bermula dan El Nino baru berkembang,” kata Otto kepada CNN.
‘BAHANG’ SEMAKIN TERASA
Tahun ini menyaksikan rekod haba dipecahkan di seluruh dunia, dengan akibat yang dahsyat.
Di AS, Texas dan beberapa kawasan di selatan negara itu dilanda gelombang panas yang terik pada akhir Jun, dengan suhu tiga digit Fahrenheit dan kelembapan melampau.
Suhu yang meningkat di Mexico dilaporkan membunuh sekurang-kurangnya 112 orang sejak Mac sementara gelombang panas yang membakar di India turut mengorbankan sekurang-kurangnya 44 nyawa di Bihar.
China terus mengalami beberapa siri gelombang haba yang mencatatkan bilangan hari panas tertinggi apabila suhu maksimum harian melebihi 35 darjah Celsius dalam tempoh enam bulan sejak rekod bermula.
UK juga mencatatkan bulan Jun yang paling panas sejak data mula dikutip pada 1884 apabila suhu purata untuk bulan itu mencecah 15.8 darjah Celsius, jauh meninggalkan rekod tertinggi sebelumnya yang hanya sekitar 0.9 darjah Celsius.
“Selain pembolehubah semula jadi, pemanasan atmosfera bumi akibat perubahan iklim yang disebabkan oleh tangan manusia mendorong dunia untuk mencapai lebih banyak rekod suhu tinggi,” kata Ketua Jabatan Meteorologi UK, Paul Davies dalam satu kenyataan.
Tegas Davies, apabila krisis iklim semakin meningkat, saintis semakin yakin bahawa gelombang haba baharu yang bakal memecahkan rekod terkini semakin kerap berlaku dan mungkin menjadi lebih buruk.
“Rekod suhu purata global baharu adalah satu lagi peringatan dan amaran. Ia menunjukkan kita perlu berhenti membakar bahan api fosil, bukan dalam tempoh beberapa dekad tetapi perlu dilakukan sekarang.
“Catatan ini mungkin hanyalah satu angka bagi sebahagian individu, tetapi bagi kebanyakan orang dan ekosistem ia adalah petanda kehilangan nyawa dan mata pencarian,” katanya.