JAKARTA: Calon Presiden Indonesia dari Parti PDI Perjuangan (PDIP), Ganjar Pranowo menyifatkan keadaan di sekolah negara ini memberi tekanan kepada para pelajar.
Hal ini kerana, beliau sering menerima laporan mengenai pelajar yang selalu dimarahi guru dan menjadi mangsa buli.
“Sekolah di negara kita ini buat para pelajar berasa tertekan.
“Bila datang sekolah, kena marah dengan guru, lepas itu dibuli pula oleh rakan-rakan,” katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.
Jelas Ganjar, keadaan itu membuatkan semakin ramai golongan pelajar tidak mahu menamatkan persekolahan dan akhirnya tercicir daripada pendidikan.
Katanya, sekolah sepatutnya menjadi tempat yang disenangi pelbagai pihak, terutamanya golongan pelajar untuk menimba ilmu.
“Sekolah perlulah menjadi tempat yang seronok dan disenangi ramai, barulah pelajar berminat untuk belajar.
“Mana-mana tempat sekali pun, jika ada unsur negatif, pasti tidak menyeronokkan dan membuatkan orang yang berada di situ berasa tertekan,” ujarnya.
Selain itu, Ganjar turut memberi contoh menggunakan filem ‘School of Rock’ yang menceritakan bagaimana para pelajarnya diberi peluang melakukan perkara yang mereka suka di sekolah.
“Para guru kena memahami pelajarnya kerana tidak semua yang diajar itu menjadi minat mereka, mungkin mereka minat bersukan atau aktiviti seni.
“Apa yang penting, tugas guru adalah memberi panduan, mengajar para pelajar mengenai apa yang baik untuk mereka, biarpun bukan dalam bidang akademik,” jelas Ganjar.










