JAKARTA: Badan Meteorologi, Iklim dan Geofizik (BMKG) Indonesia memberi amaran mengenai bencana banjir dan tanah runtuh di negara ini biarpun fenomena El-Nino berlaku.
Ketua BMKG, Dwikorta Karnawati berkata, masih ada beberapa daerah yang berisiko dilanda banjir dan tanah runtuh yang boleh meragut nyawa.
Katanya, keadaan itu boleh berlaku berikutan Indonesia dikelilingi dua lautan, selain El-Nino diramal berlaku sehingga September tahun ini.
“Masih boleh berlaku bencana banjir di beberapa daerah biarpun di sesetengah wilayah mengalami kemarau akibat El-Nino.
“Oleh hal yang demikian, jangan anggap perkara ini sebagai remeh dan semua pihak, terutamanya pihak berkuasa tempatan perlu sentiasa mengingatkan masyarakat supaya berhati-hati,” katanya.
Selain itu, Dwikorta juga memaklumkan Indonesia akan memasuki fasa kemarau dengan cuaca panas yang tinggi akibat El-Nino dan Indian Ocean Dipole.
Jelasnya, selepas musim kemarau, iaitu pada Ogos hingga Oktober, negara ini bakal dilanda hujan dengan curahan luar biasa, terutamanya di wilayah Sumatera, Jawa Bali, Kalimantan dan Sulawesi.
“Bagi menangani kesan El-Nino, kerajaan bersama agensi terlibat sudah pun mengambil beberapa langkah awal, termasuk mencegah bekalan air tidak mencukupi ketika kemarau berlaku kelak.
“Pihak berkuasa akan sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan memaklumkannya kepada masyarakat,” ujar Dwikorta.